Jenazah enam beranak tragedi kepala air Jeram Air Putih dibawa pulang petang ini

0
174

JENAZAH enam beranak mangsa tragedi kepala air di Jeram Air Putih, Kemaman akan dibawa pulang ke kampung mereka untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Lepar Hilir 3, Gambang, Kuantan.

Jenazah Karim Abdullah, 39, dan isterinya Aziah Eiyi, 40, bersama empat anak mereka Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, Putri Nurerina Natasya,10, Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6, dan Putri Aryana Umaira Karim, 4 akan dikebumikan dalam satu liang lahad.

Kakak ipar kepada Allahyarham Azizah, Rosilawati Kassim, 49, berkata semua urusan termasuk bedah siasat telah selesai dan polis memberi kebenaran untuk membawa pulang jenazah selepas selesai proses memandikan jenazah yang bermula 3 petang.

Katanya, ahli keluarga di kampung telah dimaklumkan mengenai perkara tersebut dan jenazah enam beranak itu akan disolatkan di Masjid Felda Lepar Hilir 3 sebelum dikebumikan.

“Pihak hospital dan polis dah maklum yang jenazah akan dimandikan petang ini. Mereka sedang menguruskan segala perkara berkaitan dokumen dan sebagainya.

“Alhamdulillah, akhirnya kami dapat bawa pulang dahulu enam jenazah yang ada untuk kebumi. Memang hasrat kami nak kebumi segera jenazah ikut syariat agama kita,“ katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini hari ini.

Mengenai jenazah seorang lagi anak saudaranya Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18, yang ditemukan pagi ini, Rosilawati berkata jenazah belum boleh dibawa pulang untuk pengebumian kerana perlu menjalani proses bedah siasat.

Menurut Rosilawati, mereka sekeluarga terpaksa berpecah dan membahagikan tugas memandangkan masih ada dua lagi mangsa belum ditemukan.

“Saya, suami serta ibu dan bapa mentua terus tunggu di hospital untuk urusan jenazah manakala di lokasi kejadian ada dua lagi adik beradik yang memantau perkembangan,” katanya sambil meminta orang ramai berdoa agar dua lagi mangsa ditemukan segera.

Sementara itu, Rosilawati memaklumkan ibu mentuanya, Halimah Kasim, 63, yang masih terkejut dengan tragedi itu kurang bercakap dan tidak mampu menjamah makanan.

Dia juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak perseorangan dan agensi keselamatan yang bertungkus-lumus mencari ahli keluarga mereka yang hilang dalam tragedi kepada air itu.

BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here