Air Selangor jangka tarif air naik tahun ini

0
176

TARIF air pengguna domestik di Selangor dijangka dinaikkan tahun ini bagi menampung kos operasi dan perbelanjaan modal, kata pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abas Abdullah.

Beliau berkata, semakan semula tarif perlu dilaksanakan pada “kadar berpatutan” selepas 17 tahun tiada sebarang kenaikan dikenakan.

Katanya, ia bagi memastikan kelestarian ke arah bekalan air berdaya tahan kepada lebih 9.1 juta pengguna di Selangor, Kuala Lumpur, dan Putrajaya.

Abas berkata, pihaknya berharap pelarasan tarif air domestik dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat bagi memastikan keseimbangan antara pendapatan dan perbelanjaan dapat dicapai.

Katanya, tahun lalu Air Selangor mencatatkan pendapatan RM2.45 bilion, peningkatan 12.38% daripada RM2.18 bilion yang direkodkan tahun sebelumnya.

“Bagaimanapun, peningkatan pendapatan ini masih tidak dapat menampung kos operasi dan perbelanjaan modal dan akan memberi impak kepada pengurusan operasi jangka masa panjang Air Selangor.

“Justeru, sudah tiba masanya tarif air domestik disemak semula dan dinaikkan pada kadar berpatutan selepas 17 tahun tiada sebarang kenaikan dikenakan,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena terbitan Laporan Kelestarian Air Selangor di Kuala Lumpur.

Abas berkata, semakan semula untuk menaikkan tarif air itu sudah dibincangkan dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan pihaknya menunggu keputusan yang dijangka dibuat menjelang akhir tahun ini.

Menurutnya, kadar baharu tarif air itu juga sangat penting untuk Air Selangor bagi menampung peningkatan yang terpaksa ditanggung dalam perbelanjaan operasi (opex) dan perbelanjaan modal (capex) syarikat di mana sebahagian besarnya digunakan untuk infrastruktur sistem bekalan air.

Ditanya berapa jumlah kenaikan perlu dikenakan untuk tarif air domestik, beliau berkata, SPAN yang akan menentukan “setakat mana” tarif air boleh dinaikkan.

“Air Selangor tidak menerima sebarang subsidi dan kami memang berharap agar tarif air dapat dinaikkan paling tidak secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun sekali supaya bekalan air dan pengurusan projek air secara lestari dapat diteruskan untuk manfaat pengguna,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here