PRN: Pas hantar dua nama calon setiap DUN Selangor

0
180

PAS kawasan menghantar sekurang-kurangnya dua nama calon bagi setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) ditandingi parti itu mewakili Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.

Setiausaha Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd. Shahir berkata, Pas sudah lama mengeluarkan arahan kepada Pas kawasan di negeri ini untuk mengemukakan senarai nama calon.

“Nama calon yang dikemukakan Pas kawasan itu diangkat kepada Pas Selangor dan kemudian ke peringkat Pas Pusat.

“Sekarang ini pertimbangan nama calon di peringkat Pas Pusat dan saya difahamkan proses sama turut dilalui komponen PN daripada Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dan Gerakan (Gerakan Rakyat Malaysia),” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

Bagaimanapun, Roslan Shahir menjelaskan, proses penentuan calon itu mengikut parti masing-masing dalam PN.

PN katanya, tidak terlibat dalam memutuskan calon, sebaliknya parti komponen di dalamnya yang menentukan calon.

Gabungan itu sebelum ini dilaporkan sudah selesai rundingan pengagihan kerusi antara rakan komponen bagi menghadapi pilhan raya negeri (PRN) Selangor.

Pengagihan kerusi pada PRN Selangor menyaksikan Bersatu bakal bertanding di 31 kerusi, Pas (18) Gerakan (6) dan Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) satu kerusi.

Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd. Yahya Mat Sahri berkata, buat masa ini tiada lagi arahan kepada peringkat cabang untuk mengemukakan senarai nama calon pada PRN Selangor.

Katanya, proses itu hanya dilakukan selepas semua proses rundingan pengagihan kerusi selesai di peringkat Pakatan Harapan (PH) Selangor.

“Sekarang ini kita masih fokus memuktamadkan pengagihan kerusi dan selepas semua selesai baru ada arahan untuk cabang mengemukakan nama calon,” jelas beliau.

Mohd. Yahya yang juga Pengarah Pilihan Raya PH Selangor berkata, PKR biasanya tidak menetapkan berapa ramai senarai nama calon yang bakal dikemukakan di peringkat cabang.

“Kebanyakan dua atau tiga nama sahaja setiap cabang dan senarai tu akan sampai ke peringkat negeri dan akan dihantar ke (PKR) Pusat.

“Setakat ini belum ada arahan rasmi dan fokus kami adalah membuat persiapan jentera sebagai persediaan PRN Selangor,” tambah beliau.

Sebelum ini, Barisan Nasional (BN) negeri itu mengarahkan komponen di setiap 22 bahagiannya mengemukakan tiga nama calon kepada pimpinan masing-masing untuk dicadangkan bertanding dalam PRN Selangor.

Pengerusi BN Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, arahan berkenaan dikeluarkan BN pusat yang diputuskan dalam satu mesyuarat dipengerusikan Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, baru-baru ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here