Lelaki AS ditahan di KLIA miliki tiga kelopak peluru

0
192

POLIS mengesahkan menahan seorang lelaki warga Amerika Syarikat (AS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, semalam.

Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan isteri kepada lelaki warga AS itu mendakwa ditahan pihak berkuasa kerana membawa peluru digunakan bagi penggambaran dokumentari di negara ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan berkata, lelaki itu ditahan kerana memiliki tiga kelopak peluru.

“Ya, ada ditahan dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api.

“Suspek diberi jamin namun tidak dibenarkan ke luar negara sementara siasatan dilengkapkan dan dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini lapor.

Di bawah Akta Senjata Api, individu didapati memiliki senjata atau peluru tanpa permit adalah salah di sisi undang-undang.

Menurut Hussein, lelaki itu masuk ke negara ini bagi tujuan penggambaran menggunakan kemudahan di kem tentera.

“Bagaimanapun ditahan di KLIA selepas selesai urusan penggambaran selepas pemeriksaan mendapati terdapat tiga kelopak peluru dibawa tanpa kebenaran,” jelasnya.

Portal berita tempatan hari ini melaporkan seorang wanita mendakwa suaminya, Ryan Bates yang ingin pulang ke Los Angeles ditahan pihak berkuasa di KLIA.

Dakwanya, lelaki berusia 43 tahun itu membawa peluru kosong selepas digunakan dalam kenyataan penggambaran dokumentari di negara ini.

Malah, turut dilaporkan beberapa video dimuat naik lelaki itu didakwa disoal siasat pihak berkuasa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here