Taktik BN ‘takutkan’ pengundi Terengganu tak berkesan – Penganalisis

0
149

PENGANALISIS menolak “taktik menakut-nakutkan yang tidak berkesan” oleh seorang pemimpin Barisan Nasional (BN) Terengganu dengan mendakwa negeri itu akan ketinggalan dari segi pembangunan seperti Kelantan, jika pengundi terus menyokong PAS.

“Terengganu mempunyai asas ekonomi lebih kukuh daripada Kelantan, oleh itu ia jauh lebih kaya,” kata Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia, lapor FMT.

Statistik kerajaan menunjukkan Terengganu mencatatkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak 5.9% (RM32,199 per kapita) pada 2022 berbanding 3.7% pada 2021. Pertumbuhan KDNK Kelantan pula ialah 4.5% (RM16,567 per kapita) untuk 2022 dan 2.4% pada 2021.

Azmil berkata, pengundi hanya akan menyokong parti lain jika kerajaan negeri pimpinan PAS gagal menguruskan ekonomi Terengganu dan jika Umno melakukan perubahan besar bagi mendapatkan sokongan semula.

Berbanding Kelantan, katanya, ramai pemimpin PAS di Terengganu mempunyai latar belakang profesional dan teknokrat, sekali gus secara teknikalnya lebih berkemampuan mentadbir kerajaan negeri.

Beliau mengulas dakwaan Pengerusi BN Terengganu, Ahmad Said, yang berkata Terengganu akan ketinggalan dari segi pembangunan seperti Kelantan, jika pengundi terus mengundi PAS pada PRN akan datang.

Ahmad berkata, rakyat Kelantan tidak peduli dengan kurang pembangunan di negeri itu kerana ramai yang berhijrah ke Kuala Lumpur dan Selangor untuk mencari pekerjaan.

Tetapi di Terengganu, penduduk jarang berhijrah dan “akhirnya menjadi mangsa kurang pembangunan”.

Beliau menggesa pengundi di negeri itu menyokong BN pada PRN akan datang bagi memastikan pembangunan berterusan di Terengganu.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya menyarankan Pakatan Harapan (PH) dan BN mengambil pendekatan “menyerang” bagi menembusi kubu kuat PAS, bukannya “taktik menakut-nakutkan pengundi” untuk menawan Terengganu.

“Sebagai contoh, BN atau PH belum dapat menembusi institusi agama di negeri (diterajui PAS) seperti masjid dan surau,” katanya sambil menambah ia adalah tempat parti Islam itu menyebarkan naratifnya.

Beliau berkata, PH-BN tidak memanfaatkan pengaruh di platform media sosial seperti YouTube dan TikTok serta guru agama muda (asatizah) bagi mencabar naratif pesaing.

Katanya, PH-BN perlu menjelaskan kepada pengundi Terengganu mengapa mereka memerlukan ahli gabungan perpaduan dalam kerajaan negeri serta rancangan mereka untuk membangunkan negeri jika menang PRN.

Beliau berkata, PH dan BN perlu mula berfikir secara “en bloc”, bukannya terjerat dalam butiran pengagihan kerusi parti.

Pada PRU14, PAS merampas kembali Terengganu daripada BN selepas memenangi 22 kerusi, manakala BN hanya memperoleh 10 kerusi. PAS memerintah negeri itu selama satu penggal dari 1999 hingga 2004.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here