QS World University Rankings 2024: UiTM melonjak 102 anak tangga

0
158

UNIVERSITI Teknologi MARA (UiTM) melonjak 102 anak tangga daripada kedudukan 657 pada tahun lalu, bagi mencapai kedudukan ke-555 dalam QS World University Rankings 2024.

Selain berjaya mencatatkan rekod baharu, lonjakan kedudukan ini menjadikan UiTM antara 37 peratus teratas daripada 1,503 institusi seluruh dunia yang menerima kedudukan tahun ini.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Roziah Mohd Janor, berkata pada tahun ini, 2,963 institusi dinilai di 104 lokasi seluruh dunia dengan peningkatan lebih 500 institusi baharu berbanding 2,462 institusi pada tahun lalu.

“QS World University Rankings mengukur prestasi universiti berdasarkan sembilan indikator iaitu reputasi akademik, sitasi setiap fakulti, reputasi majikan, hasil pekerjaan, nisbah pelajar fakulti, fakulti antarabangsa, rangkaian penyelidikan antarabangsa, pelajar antarabangsa dan kemampanan.

“Daripada indikator ini, reputasi majikan terus menjadi indikator terkuat UiTM apabila ia melonjak 11 anak tangga untuk mencapai kedudukan ke-184 berbanding kedudukannya pada 195 di seluruh dunia tahun lalu.

“Bagi tahun keempat berturut-turut, UiTM juga meningkatkan kedudukannya bagi reputasi akademik apabila mendaki 14 anak tangga untuk mencapai kedudukan ke-303 daripada kedudukan ke-317 tahun lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam konteks tempatan pula, Roziah berkata, UiTM meraikan lima institusi baharu yang menerima kedudukan di dalam QS World University Rankings 2024.

Beliau berkata, berbanding 24 institusi tempatan pada tahun lalu, 28 institusi tempatan disenaraikan tahun ini.

“UiTM sudah mencapai peningkatan dua anak tangga berbanding tahun lalu dalam mencapai kedudukan ke-10 terbaik di Malaysia.

“Tujuh universiti tempatan termasuk UiTM meningkatkan kedudukan dalam QS QUR 2024,” katanya.

Beliau berkata, tahun ini pencapaian terbaik UiTM sejak kali pertama menyertai QS World University Rankings.

“Sukar untuk saya ungkapkan betapa bangganya kami dengan pencapaian ini, yang mana hasil penyusunan strategi melakukan yang terbaik untuk pemegang taruh UiTM.

“Ini menunjukkan UiTM berada pada landasan betul ke arah menjadi universiti terkemuka dunia menjelang 2025,” katanya, lapor BH Online.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here