PRN Selangor: Sasaran 51 kerusi PH ‘tak realistik’, kata penganalisis

0
200

SASARAN Pakatan Harapan (PH) Selangor memenangi 51 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN tidak realistik kerana Perikatan Nasional (PN) tidak boleh dipandang rendah, kata seorang penganalisis.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, matlamat PH mendapat mandat begitu besar di Selangor adalah tugas agak mustahil, walaupun dengan sokongan Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, sasaran 51 kerusi itu berdasarkan gabungan jumlah kerusi dimenangi PH dan BN pada pilihan raya 2018, tetapi jumlah itu diperolehi sebelum Bersatu ditubuhkan.

“Ya, PRU mempunyai keputusan hampir sama, tetapi banyak yang berubah selepas PRU15,” katanya, lapor FMT.

Azmi berkata, walaupun kerjasama PH dan BN mungkin kelihatan baik di atas kertas, tetapi sentimen pengundi Melayu mungkin sudah berubah.

“Pengundi Umno tradisional agak bimbang (mengundi) calon PH, khususnya DAP, jadi 51 kerusi itu (sasaran)terlalu tinggi.”

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, gelombang hijau di Selangor boleh dilihat di kawasan majoriti Melayu seperti Hulu Selangor, Sabak Bernam dan Tanjung Karang.

“Pada asasnya, kerusi tradisional Melayu sejajar dengan PN.”

Tetapi katanya, demografi di Selangor terdiri daripada banyak kerusi kaum campuran yang memberi kelebihan kepada PH.

“Bagi saya, sasaran 51 kerusi terlalu besar kerana saya lihat PN berpotensi memenangi sekurang-kurangnya 15 kerusi di Selangor.

“Saya yakin status quo di Selangor akan kekal, dengan PH dibantu BN (membentuk kerajaan negeri baharu), tetapi sasaran 51 kerusi terlalu tinggi kerana kita tidak boleh memandang rendah PN,” jelasnya.

Beliau berkata, isu dibangkitkan PN nampaknya mendapat sokongan dalam kalangan orang Melayu, sekali gus menimbulkan kemungkinan gabungan itu boleh memenangi 15 kerusi.

Ahad lalu, Pengarah Pilihan Raya PH Selangor, Yahya Mat Sahri dilaporkan berkata, keyakinan gabungan itu berdasarkan rekod prestasi cemerlang kerajaan negeri dalam membangunkan Selangor.

Beliau berkata, pengundi dapat melihat kerajaan Selangor pimpinan PH mendekati rakyat melalui pelbagai inisiatif yang memanfaatkan mereka, termasuk skim air Darul Ehsan, perlindungan insurans percuma, skim takaful dan skim warga emas.

“Tambahan, kerjasama PH dan BN juga mampu mengukuhkan lagi keyakinan rakyat terhadap kerajaan perpaduan serta meraih lebih banyak undi.”

DUN Selangor dibubarkan Jumaat lalu.

PH memenangi 51 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan pada PRU 2018. BN menang empat kerusi dan PAS satu kerusi.

Selangor antara enam negeri yang akan mengadakan PRN tahun ini. Negeri lain ialah Kedah, Terengganu, Kelantan, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here