Wan Saiful mohon batal tuduhan rasuah Jana Wibawa

0
130

AHLI Parlimen Tasek Datuk Gelugor Wan Saiful Wan Jan akan mengetahui sama ada dia berjaya atau gagal dalam permohonannya untuk membatalkan dua pertuduhan rasuah yang dikaitkan dengan program Jana Wibawa pada 21 Julai depan.

Memetik laporan MalaysiaKini, Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur petang ini menetapkan tarikh keputusan permohonan bekas ketua penerangan Bersatu itu yang mendakwa alasan pertuduhan itu ‘cacat’.

Hakim mahkamah jenayah Rozina Ayob awal hari ini mendengar hujahan lisan daripada peguam Wan Saiful Amer Hamzah Arshad dan timbalan pendakwa raya Rashidah Murni Adzmi.

Semasa perbicaraan awal hari ini, Amer berhujah pertuduhan adalah cacat kerana ia tidak menyatakan dengan betul tarikh spesifik kesalahan yang didakwa.

Peguambela itu menambah bahawa mereka tidak memohon pembebasan penuh terhadap Wan Saiful, tetapi tertuduh diberi pelepasan tidak berjumlah pembebasan (DNAA) dalam kes itu.

Bagaimanapun, Rashidah membalas bahawa pertuduhan itu dirangka dengan betul kerana ia cukup untuk memberi notis kepada tertuduh mengenai jenis kesalahan yang didakwa.

Menerusi permohonannya, Wan Saiful antara lain menegaskan dua pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 adalah cacat.

Wan Saiful mendakwa pertuduhan tidak menyatakan masa dan tarikh spesifik kesalahan yang didakwa dilakukannya, sekali gus melanggar Seksyen 153 Kanun Tatacara Jenayah (CPC).

Katanya, pertuduhan itu tidak mengandungi butir-butir yang mencukupi untuk memberikan notis yang mencukupi kepadanya mengenai kesalahan yang didakwa dilakukannya, sekali gus melanggar Seksyen 154 CPC.

Pada 21 Feb, Wan Saiful dibicarakan atas dua pertuduhan – pertama kerana meminta rasuah dalam jumlah yang tidak ditentukan dan kedua kerana menerima rasuah RM6.96 juta antara 8 Julai 2022 dan 30 Sept 2022.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu didakwa meminta rasuah daripada seorang Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuk membantu Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek yang dipanggil “Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur” daripada kerajaan persekutuan melalui pra-kelayakan.

Projek itu sepatutnya bernilai RM232 juta.

Pertuduhan kedua menuduh Wan Saiful menerima, melalui syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd, wang RM6.96 juta daripada Nepturis sebagai dorongan untuk membantunya mendapatkan surat anugerah bagi projek yang sama.

Dia berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai dorongan.

Mahkamah jenayah menetapkan ikat jamin RM400,000 dan memerintahkan pasport Wan Saiful dirampas sementara menunggu penyelesaian kes.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu didakwa meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuknya membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek “Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur” daripada Kerajaan Malaysia secara Pra Kelayakan yang keseluruhannya bernilai RM232,000,000.

Wan Saiful, 48 juga dituduh menerima bagi dirinya suatu suapan, iaitu wang tunai sejumlah RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Syarikat Nepturis Sdn Bhd sebagai upah membantu syarikat Nepturis mendapatkan Surat Setuju Terima (SST) bagi projek sama.

Bekas pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu didakwa melakukan kedua-dua perbuatan tersebut di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana di Kuala Lumpur, sekitar April 2022 dan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku, Taman Tunku, Bukit Tunku di Kuala Lumpur antara 8 Julai 2022 hingga 30 Sept 2022.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau denda RM10,000 atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mahkamah jenayah menetapkan ikat jamin RM400,000 dan memerintahkan pasport Wan Saiful dirampas sementara menunggu kes selesai.

Jana Wibawa, akronim untuk “Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa”, merupakan program rangsangan Covid-19 untuk kontraktor bumiputera.

Pentadbiran Muhyiddin Yassin memperkenalkannya pada November 2020.

Parlimen diberitahu minggu lalu bahawa pentadbiran semasa telah membekukan projek Jana Wibawa bernilai RM5.7 bilion, sementara menunggu siasatan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here