Mahkamah tolak petisyen keputusan PRU15, Hadi kekal Ahli Parlimen Marang

0
145

TAN Sri Abdul Hadi Awang kekal sebagai Ahli Parlimen Marang selepas Mahkamah Pilihan Raya Terengganu di Kuala Terengganu hari ini, menolak petisyen yang difailkan calon Barisan Nasional (BN) bagi membatalkan kemenangan Presiden PAS itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Hassan Abdul Ghani, yang bersidang sebagai Hakim Mahkamah Pilihan Raya, membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pempestiyen, Jasmira Othman, gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah.

Hassan turut mengarahkan pempestiyen yang juga calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Marang pada PRU15, diwakili peguam, Datuk Mohd Hafarizam Harun, membayar kos RM50,000 kepada pihak Abdul Hadi.

Peguam, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, yang mewakili Abdul Hadi, berkata pihaknya berpuas hati dengan keputusan berkenaan yang disifatkan wajar dan menyeluruh.

Katanya, seramai 10 orang saksi dipanggil oleh pihak pempetisyen dan tiga orang saksi bagi pihak responden.

“Konklusi yang dibuat Yang Arif Hakim (adalah) pempetisyen telah gagal membuktikan kes mereka pada tahap keraguan yang munasabah.

“Oleh sebab itu tidak ada, (jadi) beban itu tidak beralih kepada pihak responden untuk membuktikannya satu kes prima facie.

“Kalau dalam kes jenayah itu, dia panggil tidak dipanggil bela diri tapi oleh kerana petisyen ini separa jenayah, maka responden memberikan keterangan juga.

“Jadi keterangan responden itu telah meyakinkan dan diterima mahkamah, maka petisyen itu tidak diterima,” katanya ketika ditemui pemberita selepas keputusan petisyen berkenaan, lapor BH Online.

Pada 3 Januari lalu, Badan Perhubungan UMNO Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU15 bagi Parlimen Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman.

Petisyen membabitkan tiga Parlimen itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, berkata petisyen itu difailkan antara lain atas dakwaan Pas menyogok pengundi dengan mengagihkan wang bantuan yang diberikan kerajaan negeri pada 15 hingga 17 November 2022, beberapa hari sebelum PRU15 melalui program i-Pencen, i-Belia dan i-Siswa.

Pada PRU15 lalu, Abdul Hadi memenangi kerusi Parlimen Marang dengan majoriti 41,729 undi menewaskan Jasmira, calon Pakatan Harapan (PH), Azhar Ab Shukur dan calon Pejuang, Dr Zarawi Sulong.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here