Minta UMNO tak tanding di Gombak, kerusi itu sinonim dengan PKR

0
177

TIMBALAN Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Gombak, Zainol Abidin Mohamed menggesa UMNO memberi laluan kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Gombak Setia yang menyandang kerusi itu sebelum ‘dilarikan’, selain sinonim sebagai kubu kuatnya.

Menurutnya, PH difahamkan UMNO sedang mengintai kerusi Gombak Setia yang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dimenangi Hilman Idham, sebelum beliau menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam episod Langkah Sheraton pada 2020.

Difahamkan, nama Ketua UMNO Selangor, Megat Zulkarnain Omardin disebut-sebut bertanding di kerusi itu sebagai calon Barisan Nasional (BN) yang bekerjasama dengan PH untuk pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

Beliau yang juga ketua UMNO Gombak tewas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia pada PRU14 dengan majoriti12,399 undi.

“Asasnya kita menang kerusi di Gombak Setia jadi pada pendapat saya, elok untuk memastikan kestabilan itu diteruskan di Selangor.

“Mungkin UMNO/BN boleh intai kerusi lain macam Lembah Jaya, Bukit Antarabangsa tetapi biarlah kerusi Gombak Setia yang sinonim dengan kubu PKR dikekalkan pada PKR,” katanya kepada FMT.

Ahad lalu, Pengarah Pilihan Raya PH Selangor, Mohd. Yahya Mat Sahri berkata DUN Gombak Setia dan Kota Damansara, antara kerusi masih dibincangkan antara PH dan BN yang bakal diputuskan pucuk pimpinan parti.

Mengulas lanjut, beliau memahami DUN Gombak Setia mungkin menjadi pilihan BN kerana ia boleh dikatakan kerusi selamat, namun kedudukan PKR sebagai tunjang di Selangor harus diakui.

“Saya tak nampak ada masalah pengagihan, tapi mana-mana parti politik berbeza saya nampak kita baru dalam gabungan, jadi dia nak kerusi, dia nak kerusi tu biasalah dalam proses mana-mana parti politik.

“Tetapi tak sampai peringkat berbalah, bergaduh dan tidak menjejaskan kestabilan kerajaan perpaduan, tuntut itu biasalah mana-mana parti,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here