Dua lelaki ditahan proses, edar dadah mdma

0
198

POLIS menumpaskan sindiket memproses dan mengedar dadah jenis methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) yang dibungkus dalam peket minuman segera selepas menahan dua lelaki dalam serbuan berasingan di negeri Pulau Pinang pada 23 Jun lepas.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata ekoran penahanan dua lelaki tempatan itu, polis merampas pelbagai jenis dadah termasuk MDMA yang kesemuanya bernilai RM27,999.

Beliau berkata polis menahan lelaki berusia 22 tahun di tepi jalan di sini pada 9.15 malam serta merampas lima peket MDMA seberat 31 gram (g) dan lima bungkusan berwarna-warni juga mengandungi MDMA seberat 77g.

“Ekoran penahanan suspek yang tidak bekerja dan masih bujang itu kami menyerbu sebuah kondominium di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

“Dalam serbuan 11.40 malam itu, polis menahan seorang lelaki berumur 28 tahun dan merampas 200 peket berwarna-warni MDMA, sebanyak 4,329 ketamin, pil eramin (20 biji) dan pil ekstasi (10 biji),” katanya pada sidang akhbar di Georgetown, Pulau Pinang hari ini.

Katanya bungkusan berwarna-warni itu adalah bagi mengaburi mata pihak berkuasa dan ia dijual di pusat-pusat hiburan di sekitar negeri ini dengan setiap bungkusan 16 g dijual pada harga RM130.

Soffian berkata sindiket itu aktif sejak Januari lepas dan kedua-dua lelaki itu didapati positif dadah selain suspek kedua mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

“Polis turut menyita sebuah kenderaan bernilai RM34,000, jongkong emas (RM1,600) dan barang kemas (RM1,100), dua lelaki itu direman sehingga 30 Jun ini bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,“ katanya dan menambah semua dadah itu boleh digunakan oleh 1,090 penagih.-Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here