Wanita maut dipercayai dibunuh teman lelaki

0
156

SEORANG lelaki ditahan selepas dipercayai membunuh teman wanitanya dengan memukul mangsa menggunakan batang penyapu di sebuah rumah kedai di Taman Song Choon di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, maklumat awal kejadian itu diterima daripada seorang wanita pada pukul 4.34 pagi yang memaklumkan terdapat pergaduhan suami isteri di mana isteri mengalami kecederaan parah.

Katanya, setibanya di lokasi kejadian, didapati terdapat seorang wanita dalam keadaan tidak sedarkan diri dan terbaring di atas katil.

“Mangsa berusia 24 tahun itu disahkan telah meninggal dunia oleh petugas ambulans dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

“Seorang lelaki berusia 23 tahun yang juga teman lelaki mangsa mengaku memukul wanita itu dan dia ditangkap bersama tiga individu lain yang berada di lokasi kejadian,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, tiga individu berusia 29 hingga 65 tahun yang ditahan itu adalah ahli keluarga suspek termasuk ibunya yang datang ke lokasi kejadian selepas dihubungi lelaki terbabit.

Katanya, siasatan mendapati pasangan kekasih tersebut tinggal di tingkat atas rumah kedai itu bersama bayi lelaki mereka berusia lapan bulan.

“Hasil ujian saringan air kencing yang dilakukan ke atas keempat-empat suspek mendapati teman lelaki mangsa positif dadah jenis methamphetamine.

“Tangkapan terhadap kesemua suspek membawa kepada rampasan barang kes berupa empat unit telefon bimbit dan batang penyapu yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian itu,” katanya.

Tambah beliau, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Keempat-empat suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga Sabtu depan untuk siasatan lanjut. Bayi lelaki mangsa telah diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk jagaan,” katanya lapor Utusan Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here