Tidak lagi mahu berpolitik, Ronnie Liu hantar surat keluar DAP

0
163

ADUN Sungai Pelek Ronnie Liu telah memutuskan untuk keluar daripada DAP selepas 41 tahun bersama parti itu kerana dia tidak mahu terlibat dalam “politik kepartian” lagi.

Bagaimanapun, Liu berkata dia akan kekal sebagai penyokong Pakatan Harapan dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Hati saya masih bersama Pakatan Harapan dan Malaysia Madani. Saya akan sentiasa menyokong Anwar.

“Saya kekal sebagai penyokong Pakatan Harapan. Tetapi tiada lagi politik kepartian untuk saya,” kata Liu, lapor Malaysiakini hari ini.

Liu semalam telah menyiarkan di Facebook kandungan surat yang ditujukan kepada Setiausaha Agung DAP Anthony Loke yang mengumumkan hasratnya untuk meninggalkan parti itu.

Dalam surat itu, Liu berkata banyak perkara telah berlaku sepanjang 41 tahun dia bersama parti itu.

“Ada yang di luar jangkaan saya. Dengan itu, saya memohon untuk menamatkan keahlian saya dengan DAP berkuat kuasa 24 Jun 2023,” bunyi surat itu.

Liu mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa surat itu akan dihantar kepada Loke hari ini.

Oktober lalu, dilaporkan bahawa Liu dijangka akan meninggalkan DAP dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, pada masa itu, apabila diminta mengulas mengenai perkara itu dia meminta supaya “menunggu” kenyataannya.

Liu dipilih sebagai salah seorang ahli jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) DAP, memperoleh 1,070 undi dalam pemilihan parti pada awal 2022 dan dijangka berkhidmat sehingga 2025.

Bagaimanapun, Liu dikatakan sering kali tidak sependapat dengan beberapa ahli parti lain malah telah diberikan beberapa surat tunjuk sebab oleh DAP pada 2019.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here