Lokman Adam bebas, lepas tuduhan sebar berita palsu Covid-19

0
183

MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur hari ini melepas dan membebaskan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam, atas dua tuduhan menyebarkan berita palsu menerusi Facebook mengenai COVID-19 dan vaksin, dua tahun lalu.

Hakim, Nor Hasniah Ab Razak, membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh pada peringkat akhir kesnya.

“Mahkamah membuat penilaian maksimum terhadap semua keterangan dan eksibit dikemukakan pihak pendakwaan, selain hujahan bertulis Timbalan Pendakwa Raya dan peguam.

“Mahkamah mendapati dan memutuskan bahawa pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan bagi pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No 2) 2021.

“Pihak pendakwaan dengan ini gagal mengasaskan satu kes prima facie terhadap tertuduh. Mahkamah memerintahkan tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa perlu dipanggil membela diri terhadap pertuduhan dihadapi, wang jaminan dikembalikan,” katanya, lapor BH Online.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datin Kalmizah Salleh manakala Lokman diwakili peguam, Logen Eskander.

Pada 1 Oktober 2021, Lokman, 50, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebarkan berita palsu di Facebook.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, Lokman didakwa dengan niat menyebabkan kebimbangan kepada orang awam dengan menyebarkan berita tidak benar menggunakan profil ‘Lokman Adam’ di Facebook.

Ia menerusi rakaman audio visual berhubung dakwaan warga India memasuki Malaysia menerusi penerbangan dari Bangalore, India sebagai penyebab penyebaran COVID-19.

Selain itu, isu mengenai kematian pegawai polis dikenali Asisten Komisioner (ACP) Shahriman yang adalah Ketua Cawangan Khas Polis Pahang, beberapa saat selepas suntikan kedua vaksin.

Sementara itu, Lokman ketika ditemui media berkata, keputusan mahkamah untuk membebaskannya atas tuduhan itu bermakna beliau tidak melanggar fakta ketika memberi keterangan.

“Saya ingin ucapkan terima kasih kepada peguam dan hakim kerana mahkamah memutuskan tiada kes prima facie ke atas kes terbabit.

“Kes ini di mana saya merayu supaya keluarga ACP Shariman diberikan pampasan seperti mana mangsa yang meninggal dunia akibat pengambilan vaksin,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here