Inspektor Sheila digantung tugas, polis buka 8 kertas siasatan

0
128

SEORANG pegawai polis wanita yang dikenali sebagai Inspektor Sheila disahkan telah digantung tugas sejak minggu lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, setakat ini sebanyak dua kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

“Rakaman percakapan juga sudah diambil pada 18 Jun lalu dan kedua-kedua kertas siasatan sudah dirujuk kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.

“Pada masa sama, enam kertas siasatan tatatertib dibuka oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis serah terima tugas dan pemakaian lencana Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, hari ini.

Jelas Saifuddin lagi, polis mempunyai kaedah yang jelas bagi menghadapi perilaku ketidaktenteraman persepsi.

“Jadi kita biarkan pasukan polis mengguna pakai undang-undang,” katanya.

UtusanTV sebelum ini melaporkan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan membuka dua kertas siasatan berhubung kejadian seorang penjawat awam memarahi dua anggotanya di Taman Sri Gombak, Batu Caves.

Kemudian, tular lagi sebuah video memaparkan perselisihan faham di antara penjawat awam berkenaan dengan orang awam di tempat letak kenderaan di sebuah pasar raya di Brickfields, Kuala Lumpur.

Susulan itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here