4 pelajar ditahan akibat belasah, pukul rakan sekolah

0
188

POLIS menahan empat pelajar lelaki sebuah sekolah menengah kerana disyaki memukul seorang rakan mereka.

Ketua Polis Kota Samarahan, Brodie Brangka, berkata pelajar terbabit ditahan untuk siasatan selepas mangsa membuat laporan kira-kira 5 petang, Isnin lalu.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku di belakang blok kedai Taman Desa Permai, Kota Samarahan. Mangsa seorang pelajar Tingkatan 1 dipukul empat pelajar lelaki dari sekolah sama.

“Semua suspek dibawa ke IPD Kota Samarahan untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, lapor FMT.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara hingga setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Brodie berkata, pihak pengurusan sekolah berkenaan juga dimaklumkan mengenai kejadian itu.

“Orang ramai dinasihatkan tidak menyebarkan rakaman video tersebut dan tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian supaya tidak mengganggu siasatan dijalankan,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial rakaman video berdurasi 47 saat yang menunjukkan mangsa dipukul semua suspek.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here