11kg ganja ditinggalkan penyeludup tepi pagar sempadan

0
156

GERAK-geri mencurigakan seorang lelaki di kawasan pagar sempadan Malaysia-Thailand di Chuping, Padang Besar, membongkar penemuan 11 ketulan mampat ganja di anggar bernilai RM34,100 semalam.

Ketulan ganja mampat dengan anggaran berat sekilogram setiap satu itu ditemukan selepas ditinggalkan lelaki terbabit, sejurus menyedari gerak-gerinya diperhatikan pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah, berkata dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu tujuh anggota termasuk seorang pegawai Batalion 1 Pasukan Gerakan Am (PGA) sedang melakukan rondaan dan pemantauan di sekitar ladang getah berhampiran sempadan Malaysia-Thailand di Chuping.

Ketika itu, katanya anggota ternampak motosikal dinaiki seorang lelaki di negara jiran sedang berhenti berhampiran pagar keselamatan Malaysia-Thailand dalam keadaan mencurigakan.

“Menyedari gerak gerinya diperhatikan kita, suspek kemudian melarikan diri.

“Hasil pemeriksaan di kawasan terbabit kemudian menemukan satu guni berwarna putih di mana di dalamnya terdapat satu kotak mengandungi 11 bungkusan plastik lutsinar ketulan mampat daun kering dipercayai ganja dengan anggaran 11 kilogram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor BH Online.

Mohd Shokri berkata, siasatan awal mendapati bekalan ganja itu diseludup dari negara jiran menggunakan ‘laluan tikus’ di kawasan ladang di Chuping.

“Tiada tangkapan dilakukan namun rampasan ganja berkenaan dianggarkan bernilai RM34,100,” katanya.

Rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar untuk siasatan lanjut dengan kes disiasat mengikut Seksyen 39B (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here