Gerakan tanding tiga kerusi pada PRN Kedah

0
174

PARTI Gerakan akan bertanding di tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah, kata Presidennya Datuk Dr Dominic Lau.

Beliau, bagaimanapun tidak mendedahkan tiga kawasan berkenaan dan memaklumkan bahawa rundingan pembahagian kerusi dalam kalangan parti komponen Perikatan Nasional (PN) sudah selesai.

Menurutnya, pengumuman mengenai kerusi DUN yang akan ditandingi parti-parti komponen dalam PN bagi PRN itu akan dibuat pada 22 Jun ini.

“Oleh itu, kita telah maklumkan kepada pimpinan parti Gerakan dan persediaan mereka akan diteruskan dan saya memang berpuas hati dengan kerjasama parti komponen PN yang terdiri daripada PAS, Bersatu dan Gerakan di Kedah,“ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan persidangan perwakilan Gerakan Kedah di Alor Setar malam tadi.

Kedah memiliki 36 kerusi DUN dengan PN menguasai 21 kerusi, Pakatan Harapan (11), Barisan Nasional dan Pejuang masing-masing dua kerusi.

Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebelum ini dilaporkan berkata beliau akan menghadap Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada 25 Jun ini untuk mencadangkan tarikh pembubaran DUN Kedah pada 28 Jun. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here