Macau Scam: Doktor rugi RM100,000 ditipu pegawai LHDN

0
127

PANIK dimaklum disenaraikan “orang dikehendaki polis” menyebabkan seorang doktor wanita kerugian RM100,000 selepas terpedaya dengan sindiket Macau Scam.

Ketua Polis Pahang Yahaya Othman, berkata mangsa berusia 28 tahun mendakwa menerima panggilan telefon pada Jumaat lalu daripada suspek yang memperkenalkan diri sebagai “pegawai” Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Suspek mendakwa mangsa terlibat dalam kes pengubahan wang haram sebelum panggilan disambungkan ke seorang lagi suspek, kononnya pegawai polis yang mengesahkan mangsa akan disenarai hitam kerana berada dalam rekod dikehendaki.

“Mangsa mendakwa ‘polis’ itu mengarahkannya membuka akaun bank baharu dan memasukkan wang RM100,000 ke dalamnya serta diarahkan berkongsi maklumat perbankan tersebut kononnya bagi mengeluarkan diri daripada senarai itu,” katanya dalam kenyataan, lapor FMT.

Yahaya berkata, mangsa yang mendakwa dirinya panik juga menuruti arahan supaya mengambil swafoto dan berkongsi gambar berkenaan dengan suspek selang beberapa jam.

Mangsa bagaimanapun curiga selepas gagal menghubungi suspek bagi mendapatkan perkembangan status “orang dikehendaki” itu, lalu membuat laporan di IPD Temerloh semalam.

Yahaya menasihatkan orang ramai untuk tidak mendedahkan maklumat peribadi termasuk perbankan kepada pihak ketiga selain membuat semakan nombor telefon atau nombor akaun di Check Scammers CCID atau di https://semakmule.rmp.gov.my/ bagi mengelak risiko menjadi mangsa penipuan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here