Jawatankuasa bantah bak kut teh sebagai makanan tradisi

0
147

SATU jawatankuasa akan dipanggil bagi tujuan membantah cadangan memperkenalkan bak kut teh sebagai salah satu makanan warisan rakyat Malaysia.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kedah, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah menjelaskan, beliau yang memegang Portfolio Pelancongan, Seni dan Budaya dalam kabinet bayangan akan memanggil jawatankuasa tersebut sebagai persediaan melaksanakan tindakan selanjutnya.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, sokongan dan suara rakyat Malaysia turut diperlukan dalam usaha mengekang cadangan berkenaan dari terus mendapat perhatian.

“Saya akan memanggil jawatankuasa bagi menentang habis-habisan supaya bak kut teh ini tidak disenaraikan sebagai makanan tradisional.

“Saya juga mohon tuan puan menyokong tindakan ini dan ia tidak diluluskan sebagai makanan tradisi Malaysia,” katanya ketika hadir ke Pelancaran Jentera Perikatan Nasional (PN) Parlimen Merbok di Bandar Laguna Merbok pada Sabtu, lapor Sinar Harian.

Hadir sama melaksanakan pelancaran termasuk Pesuruhjaya Pas Kedah merangkap Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Ahmad Yahaya, Pengerusi Gerakan Kedah, Marimuthu Selvan, Pengarah Pilihan Raya PN Kedah, Mohd Hilmi Abd Wahab dan Ahli Parlimen Merbok, Mohd Nazri Abu Hassan.

Jelas Mohd Suhaimi, antara 30 makanan yang dimakan oleh pelbagai kaum di Malaysia, bak kut teh tidak disenaraikan dan tidak sesuai dijadikan makanan tradisi.

“Macam mana nak jadi makanan tradisi Malaysia sebab ada juga masyarakat Cina dan India yang tidak makan, apatah lagi bangsa lain,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Tiong King Sing meminta pegawai kementerian untuk meneliti kemungkinan mengiktiraf secara rasmi bak kut teh sebagai makanan warisan rakyat Malaysia.

Ia susulan pertanyaan daripada Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse (PH) berhubung usaha kementerian itu untuk memastikan makanan tradisi rakyat Malaysia seperti nasi lemak, bak kut teh dan laksa diangkat martabat sebagai makanan kebangsaan Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here