PKR, MIC bakal berebut kerusi DUN Sentosa?

0
97

PARTI Keadilan Rakyat (PKR) dijangka mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa pada pilihan raya negeri (PRN) Selangor akan datang.

Perkembangan itu dilihat bertentangan dengan khabar angin bahawa MIC berminat untuk bertanding di DUN berkenaan.

Ketua PKR Kota Raja, Gunaraj George memaklumkan kepada FMT bahawa ‘pucuk pimpinan’ parti muktamad DUN Sentosa akan ditandingi calon PKR, selepas mengambil kira pandangan penduduk.

“Memang kerusi (Sentosa) tidak akan diberi kepada MIC memandangkan tiga penggal parti Pakatan Harapan (PH) menang di kawasan ini. Kita tidak boleh beri kepada sesiapa,” katanya.

Gunaraj yang juga penyandang kerusi menyatakan kesediaan untuk bertanding semula di situ namun pimpinan tertinggi akan membuat keputusan.

Beliau mengulas laporan Malaysiakini pada 3 Jun lalu, bahawa Barisan Nasional yang akan mempertahankan empat DUN meminta PH menawarkan 13 kerusi, termasuk Sentosa.

Menurut laporan yang memetik sumber UMNO itu, MIC berminat untuk bertanding di Sentosa atau Dengkil, manakala MCA menyasarkan Kuala Kubu Bharu.

Pada 11 Jun lalu, Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kedua-dua gabungan gagal mencapai kata sepakat bagi tiga kerusi.

Pada PRU14, calon PH yang bertanding atas tiket PKR menang di Sentosa dengan majoriti 33,600 undi, Dengkil (6,934 undi), dan Kuala Kubu Bharu (7,134 undi).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here