Polis rampas 18.6 kg syabu di inap desa

0
174

Oleh RIZQI ZABIDI

DUA lelaki ditahan bersama 18.6 kilogram dadah dalam serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sebuah inap desa dekat Kampung Sungai Jagung, Sungai Petani, Kedah kelmarin.

Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh, kedua-dua individu berkenaan yang berumur 34 dan 35 tahun ditahan kira-kira pukul 11.55 malam ketika sedang mengeluarkan sebuah kotak dari bonet sebuah kereta jenis Honda City di pekarangan inap desa tersebut.

Katanya, pemeriksaan dijalankan terhadap kotak itu menemukan 18 bungkusan plastik teh cina berwarna hijau mengandungi bahan disyaki dadah jenis syabu seberat kira-kira 18.6 kilogram bernilai RM671,220.

“Selain dadah tersebut, pihak kami turut merampas dua kenderaan jenis Honda City dan Perodua Bezza serta wang tunai RM500.

“Mereka dipercayai mula aktif dalam kegiatan tersebut sejak Januari lalu. Dipercayai mereka menyewa inap desa tersebut untuk dijadikan lokasi transit dadah sebelum dipasarkan di negeri ini.

“Jika terlepas ke pasaran, dadah itu boleh digunakan oleh kira-kira 40,000 penagih. Kedua-dua suspek yang ditahan kini direman selama tujuh hari dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan individu lain yang mungkin terlibat dalam kegiatan itu,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Kedah, hari ini.

Tambahnya, ujian urin dijalankan terhadap dua lelaki tersebut mendapati kedua-duanya positif syabu dan memiliki rekod jenayah lampau.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, seramai 20 individu ditahan ketika asyik bermain judi belangkas di kawasan ladang kelapa sawit, Kampung Titi Akar di Pendang, pada hari sama.

Menurutnya, tangkapan itu dilakukan kira-kira pukul 7.15 petang oleh sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Pencegahan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) IPK Kedah bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang.

“Hasil serbuan tersebut, pihak polis berjaya merampas pelbagai peralatan digunakan dalam permainan judi belangkas serta wang tunai berjumlah RM28,624. Mereka yang ditahan berusia antara 18 hingga 78 tahun.

“Kesemua tangkapan dibawa ke IPD Pendang untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. Jika sabit kesalahan, mereka yang terlibat boleh didenda tidak lebih RM5,000, penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Tambahnya sejak Januari 2023, sebanyak 955 serbuan pelbagai jenis judi dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah melibatkan 982 tangkapan.

“Sebanyak 955 kertas siasatan dibuka dengan 477 kes telah berjaya dituduh di mahkamah iaitu 251 kes judi ekor haram, 222 judi dalam talian dan empat kes lain-lain judi,” katanya. -SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here