Polis P.Pinang tahan 38 along

0
132

POLIS Pulau Pinang menahan 38 individu kerana terbabit dengan aktiviti pinjaman wang tidak berlesen atau along dalam operasi khas yang dijalankan bagi menangani sekali gus membanteras kegiatan itu.

Ketua Polis Pulau Pinang Khaw Kok Chin berkata kesemua mereka terdiri daripada 34 lelaki dan empat perempuan itu ditahan sejak pihaknya melancarkan operasi besar-besaran pada 5 Jun lepas hingga semalam.

“Sejak pihak polis Pulau Pinang melancarkan operasi besar-besaran membanteras kegiatan along itu, kami telah menahan seramai 38 individu di sekitar Pulau Pinang dan negeri-negeri jiran kita kerana mereka cuba melarikan diri serta bersembunyi di sana.

“Semua yang ditahan itu berumur 21 hingga 72 tahun dan ada dalam kalangan mereka yang ditahan itu bersangkut beberapa kes lama yang kertas siasatan telah dibuka namun mereka masih bebas (melarikan diri) dan bila kita tangkap, kita (akan) terus dakwa,“ katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas mengadakan lawatan kerja di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini, yang turut dihadiri Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong.

Mengulas sama ada along yang ditahan itu terlibat dalam kes ugutan jenayah terhadap Khaw, beliau berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut terhadap mereka.

“Pihak polis sedang siasat sama ada mereka terlibat cuma apa yang saya boleh maklumkan, kita ada modus operandi untuk mengesan (along) yang terlibat dengan ugutan jenayah itu … saya tidak boleh ulas lanjut kerana tidak mahu suspek lari,“ katanya.

Khaw berkata kesemua 38 suspek yang ditahan itu disiasat di bawah Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.

Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memperhebat usaha dan sedang memburu sindiket pemberi pinjaman wang tidak berlesen yang menghantar sepucuk surat amaran dan ugutan jenayah kepada Ketua Polis Pulau Pinang.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dilaporkan berkata pihaknya memandang serius tindakan biadab dan melampau along yang berani mencabar serta mengugut pegawai tertinggi PDRM di Pulau Pinang.

Surat layang itu yang dimasukkan di dalam sampul surat, telah diterima pada 1 Jun lepas melalui perkhidmatan Pos Malaysia.

BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here