Dera kera: AGC diheret ke mahkamah sebab gagal dakwa pelaku

0
98

SEBUAH kumpulan hak asasi haiwan mengheret Jabatan Peguam Negara (AGC) ke mahkamah bagi memaksa pendakwa raya mengenakan pertuduhan jenayah terhadap seorang individu yang didakwa menyeksa anak kera.

Hak Asasi Hidupan Liar Malaysia (Hidup) dan wakilnya, Dr. Kartini Farah Abdul Rahim, memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pagi ini.

Peguam NGO berkenaan, Rajesh Nagarajan mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa tindakan sivil itu diambil bukan sahaja menyasarkan AGC tetapi polis dan juga kerajaan persekutuan.

Pada 24 Mei lalu, peguam itu memberitahu Malaysiakini bahawa AGC enggan memberikan sebab berhubung keputusan Tiada Tindakan Lanjut (NFA) terhadap laporan polis yang dibuat NGO itu berhubung dakwaan penyeksaan anak kera terbabit.

Dalam afidavit menyokong semakan kehakiman, Kartini menegaskan bahawa tindakan NFA yang dikeluarkan AGC pada 5 April itu adalah prosedur yang tidak munasabah dan salah.

Ini kerana katanya, polis gagal menahan tertuduh walaupun dikatakan mengaku melakukan perbuatan itu.

Aktivis hak asasi haiwan itu berkata tindakan NFA adalah tidak munasabah kerana polis telah diberikan pelbagai maklumat dan bukti konkrit yang mencukupi untuk mendakwa pelaku di mahkamah.

Beliau mendakwa bahawa antara bukti tersebut ialah rakaman video yang disimpan dalam pautan Google Drive.

Video yang dimuat naik dalam kumpulan media sosial menunjukkan leher anak kera berkenaan dikerat menggunakan gunting, dibakar hidup-hidup dan dipotong jari dalam bilik air di rumah suspek di Setia Alam, Shah Alam.

Beliau berkata, bukti dikumpulkan susulan aduan dua kumpulan hak asasi haiwan – Action for Primates dari United Kingdom dan Lady Freethinker dari Amerika Syarikat.

Aduan itu melibatkan individu yang didakwa menyeksa anak kera ekor panjang (long-tailed macaque) demi kepuasan peribadi dan mendapat wang di media sosial.

“Tambahan pula, Individu tersebut telah memberi pengakuan terhadap perbuatannya mendera anak-anak monyet tersebut kepada pihak polis.

“Oleh itu, keputusan responden kedua untuk mengklasifikasikan siasatan laporan polis saya sebagai tiada tindakan lanjut, walaupun terdapat bukti yang kukuh terhadap Individu tersebut adalah tidak munasabah (unreasonable),” dakwa Kartini dalam afidavit yang turut dilihat oleh Malaysiakini.

Menerusi semakan kehakiman, NGO itu meminta perintah certiorari untuk membatalkan keputusan NFA berkenaan, serta perintah mandamus untuk mengarahkan polis mendakwa individu tersebut di bawah undang-undang yang sesuai di mahkamah.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan maklum balas daripada AGC berhubung perkara itu.

Pada 20 Jan lalu, Hidup membuat laporan polis bagi menggesa tindakan diambil terhadap individu terbabit selepas menerima maklumat daripada kumpulan hak asasi haiwan antarabangsa.

Berdasarkan maklumat yang diterima, suspek didakwa merakam penyeksaan haiwan tersebut dan menjual rakaman itu di sebuah kumpulan Telegram yang dipanggil ‘Monkey Haters’.

Haiwan itu didakwa dipukul dengan objek tumpul atau diseksa sehingga meraung kesakitan.

Kera ekor panjang disenaraikan sebagai spesis hidupan liar yang dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar.

Individu yang didapati mendera hidupan liar yang dilindungi di bawah akta ini boleh dikenakan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM50,000, penjara sehingga setahun, atau kedua-duanya sekali.

Menerusi Akta Kebajikan Haiwan 2015, individu yang didapati bersalah melakukan kekejaman terhadap haiwan boleh dikenakan denda antara RM20,000 dan RM100,000, atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

Kera ekor panjang adalah spesis terancam di seluruh dunia dan bilangannya semakin berkurangan, menurut Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN).

Bilangan haiwan berkenaan disyaki merosot kira-kira 40 peratus dalam tempoh 40 tahun lalu dan dijangka menurun lagi sebanyak 50 peratus dalam 40 tahun akan datang, kata IUCN.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here