PDRM mohon bantuan INTERPOL kesan Jocelyn

0
135

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan membuat permohonan kepada Polis Antarabangsa (INTERPOL) bagi mendapatkan identiti dan lokasi terkini pelawak kelahiran Singapura, Jocelyn Chia.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata pihaknya akan melakukan permohonan berkenaan esok bagi membantu siasatan berhubung klip video yang tular di media sosial.

“Selain itu, PDRM juga sudah membuat salinan transkrip ucapan suspek dalam klip video berkenaan.

“Pada 7 jun lalu, polis sudah membuat permohonan profiling kepada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dan perkara itu masih lagi dalam tindakan SKMM,” katanya lapor BH.

Beliau ditemui selepas merasmikan Program Lawatan Hospital sempena peringatan Hari Polis ke-216 di Hospital Tuanku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani (HPKK), di sini, hari ini.

Acryl berkata, siasatan kes berkenaan dijalankan mengikut Seksyen 504/505 (c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.

Sebelum ini, tindakan Jocelyn yang memperlekehkan Malaysia dalam satu persembahan komedi bertajuk ‘Singapore vs Malaysia’ di New York, Amerika Syarikat baru-baru ini, mendapat kecaman hebat daripada pelbagai pihak termasuk Malaysia dan Singapura.

Menerusi klip video yang dimuat naik pada akaun TikTok, Jocelyn turut secara sengaja menghina seorang penonton persembahannya yang mengaku sebagai rakyat Malaysia dengan perkataan kesat.

Susulan itu, TikTok sudah mengeluarkan video tular berkenaan yang turut mengandungi kenyataan menghina Malaysia dan tragedi MH370, kerana mengandungi ucapan berunsur kebencian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here