KJ sertai PN undang mimpi ngeri PH-BN di NS

0
134

KEMASUKKAN Khairy Jamaluddin ke dalam Perikatan Nasional (PN) jika menjadi kenyataan mengundang mimpi ngeri kepada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) khususnya di Negeri Sembilan.

Ketua Penerangan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri, Wan Zikri Afthar Ishak berkata, akar umbi Bersatu khususnya anak-anak muda sangat mengalu-alukan penyertaaan bekas Ketua Pemuda UMNO itu sekali gus bakal memberi kelebihan kepada parti.

Kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambun Tulang itu, Bersatu sememangnya memerlukan figura atau tokoh seperti Khairy yang sememangnya diakui mempunyai bakat serta kebolehan cukup besar.

“KJ (Khairy) ini kalau kita tengok berada dalam parti yang penuh dengan ‘warlord’ namun masih mampu ‘survive’ dan menjadi pemimpin yang sangat dihormati pada masa ini.

“Impak jika KJ masuk Bersatu dan andai kata beliau merupakan poster boy di Negeri Sembilan sebagai contoh ia akan memberi mimpi ngeri kepada PH dan BN.

“KJ ini kalau kita lihat di Sungai Buloh dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) baru-baru ini, beliau mampu kurangkan puluhan ribu majoriti dan KJ mempunyai satu aura dengan masyarakat Melayu, Cina dan India serta semua kaum menyukainya,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan, Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau dijangka bertemu dengan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada minggu depan.

Tanpa mendedahkan secara terperinci, Khairy dilaporkan berkata, pertemuan tersebut bagi memberikan keputusan muktamad beliau, dipercayai mengenai tawaran menyertai parti berkenaan.

Tambah Wan Zikri, beliau melihat Khairy bukan sahaja boleh menjadi Menteri Besar malah berpontensi menjadi calon Perdana Menteri pada masa hadapan.

“Sebab Bersatu ini tidak pernah mengabaikan bakat-bakat muda ini. Kami berharap KJ akan dapat sertai kami dan kita akan memberi sokongan kepada pemimpin berbakat ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, impak daripada penyertaan Khairy bukan sahaja PN mampu menawan Negeri Sembilan malah Selangor juga mampu dirampas dalam PRN kali ini.

“Aura KJ ini akan membantu dalam PRN kali ini khususnya dalam menarik sokongan anak muda dan pengundi pelbagai kaum,” katanya lapor Utusan Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here