‘Undangan Zahid untuk ahli digantung, dipecat sertai UMNO semula tak masuk akal’

0
166

BEKAS Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mempertikai ‘undangan’ Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada pemimpin yang dipecat dan digantung untuk menyertai semula parti itu, kerana sangsi dengan keikhlasan jemputan itu.

Ahli Parlimen Sembrong itu berkata, undangan semula Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) tidak masuk akal.

Menyoroti tindakan menggantung beliau, Hishamuddin berkata, sehingga ke hari ini, beliau masih tidak pasti apa punca sebenarnya tindakan itu dilakukan terhadapnya.

“Yang saya tahu, dia kata kita kena mohon diterima semula. Kedua, kena bawa ke Jawatankuasa Disiplin tetapi bagi saya, sampai hari ini saya tak tahu sebab digantung.

“Masa saya digantung dulu, Jawatankuasa Disiplin tak pernah panggil untuk siasatan dan untuk jawab. Jadi saya pun tak tahu sama ada yang diluahkan baru-baru ini ikhlas atau tak.

“Lagipun bagi saya tak masuk akal, apa yang dicadangkan itu mungkin reaksi, luahan daripada bawah (akar umbi),” katanya kepada media ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Reaksi Hishamuddin berkisar kenyataan Ahmad Zahid ketika berucap pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 baru-baru ini, yang menegaskan parti sentiasa terbuka untuk menerima ahli yang dikenakan tindakan disiplin termasuk mereka yang digantung atau dipecat.

Mengulas lanjut adakah rakan lain yang turut digantung atau dipecat akan menerima undangan Ahmad Zahid itu, Hishammuddin berkata, ia terserah kepada mereka terbabit.

Katanya, rakan yang ditimpa hukuman termasuk digantung atau dipecat sebenarnya tidak mengalami sebarang kerugian.

“Tetapi itu terserah kepada mereka (untuk terima pelawaan). Bagi saya kawan yang digantung, dipecat ini tak ada rugi kerana kita pun sudah digantung.

“Jadi kalau betul perlukan khidmat kita, sindiran bahkan tawaran bersyarat tak bawa apa-apa makna kepada diri saya, ” katanya lapor BH.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here