Wan Saiful enggan layan spekulasi tanding di Sungai Ramal

0
186

AHLI Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan tidak mengiyakan atau menafikan akan bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) Selangor.

Bekas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu enggan melayan spekulasi akan tersenarai sebagai calon di PRN di negeri berkenaan.

“Saya fikir spekulasi bermula kerana saya menjadi ketua Bersatu Bangi.

“Bahagian itu berdepan masalah organisasi dan saya diminta mengetuainya pada Oktober tahun lalu untuk menangani cabarannya.

“Syukur, saya berjaya menyelesaikan kebanyakan isu dan mungkin sebab itu juga ada pihak bercakap berkenaan pencalonan saya di sana,” katanya kepada FMT apabila mengulas berhubung laporan berita berkait perkara itu.

Awal hari ini, Sinar Harian memetik sumber sebagai berkata, Perikatan Nasional (PN) mempertimbang mencalonkan Wan Saiful dan anak perempuan Tan Sri Noh Omar, Nurul Syazwani, sebagai calon menjelang PRN Selangor.

Menurut sumber, Wan Saiful akan bertanding di Sungai Ramal, yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di bawah Parlimen Bangi, ketika ini disandang Adun Pakatan Harapan, Mazwan Johar, daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Mazwan menang majoriti 10,630 undi apabila meraih undi 24,591 undi, mengalahkan calon Pas, Nushi Mahfodz (13,961 undi) dan Abdul Rahim Mohd. Amin daripada BN (9,272 undi), pada PRU4.

Sumber berkata, Wan Saiful sering dilihat berada di lapangan, menghadiri pelbagai acara termasuk mempengerusikan mesyuarat PN di Bangi, sambil menambah beliau menerima arahan daripada pemimpin PN meletakkan keutamaan untuk menang kerusi tersebut.

Wan Saiful berkata, komponen parti dalam PN, terutama Bersatu, Pas, dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), sudah mempunyai strategi mantap berdepan PRN.

“Saya mempunyai matlamat jelas berhubung peranan yang akan saya mainkan dan saya tidak mahu mendahului pemimpin parti dalam isu ini,” katanya.

Mengulas berhubung Nurul Syazwani, sumber berkata, beliau berkemungkinan bertanding di Permatang, kawasan di bawah Parlimen Tanjung Karang, kerusi disandang ayahnya bermula 1995 hingga 2022.

“Noh yang merupakan Ahli Parlimen enam penggal memainkan peranan penting dalam pemilihannya sebagai calon,” kata sumber itu.

FMT sedang mendapatkan ulasan lanjut Noh.

Menurut laporan, Noh belum menyertai PN walaupun menghadiri ceramah anjuran gabungan itu. Anak perempuannya sudah menyertai Bersatu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here