Takiyuddin sahkan Eizlan Yusof sertai Pas

0
163

SETIAUSAHA Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengesahkan pelakon dan pengarah, Datuk Seri Eizlan Yusof telah menyertai parti itu.

Beliau berkata, terdapat beberapa lagi tokoh lain yang akan turut menyertai Pas namun nama mereka akan diumumkan pada waktu yang sesuai.

“Datuk Eizlan Yusof sah jadi ahli dan bersama dengan dia pun ramai lagi,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Ceramah Perdana Gelombang Kebangkitan Rakyat di Seremban semalam.

Sebelum ini media melaporkan yang Eizlan enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan yang beliau bakal menyertai Perikatan Nasional (PN) di bawah tiket Pas dan meminta menunggu pengumuman berkaitan sekiranya perkara itu benar-benar berlaku.

Dalam perkembangan sama, Takiyuddin berkata, Pas menerima antara 3,500 sehingga 4,000 orang keahlian baharu setiap bulan.

“Hari ini (Ahad) saja ada 3,000 lebih termasuk penyertaan kumpulan Tan Sri Annuar Musa sendiri dan difahamkan akan ada lagi secara berkumpulan termasuk di peringkat negeri-negeri,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Pas tiada masalah untuk mempertimbangkan Annuar sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

“Itu sesuatu perkara yang boleh kita fikirkan. Kita tengoklah, kerana Annuar tidak beri apa-apa syarat.

“Dia (Annuar) masuk ke dalam Pas untuk berjuang bersama Pas tanpa apa-apa syarat. Jadi soal, pencalonan semua itu akan bincang dan sebagai ahli Pas, dia layak untuk dicalonkan serta diberi peranan sebagai calon Pas,” katanya.

Ujarnya, sebagai seorang tokoh politik di Kelantan, Annuar boleh memberi satu gelombang kemenangan kepada PN, lapor Sinar Harian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here