‘Mana janji dulu, Najib masih dipenjara’, poster provokasi cemar PAU

0
169

PERHIMPUNAN Agung UMNO (PAU) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) dicemari penyebaran poster berbaur provokasi dalam menuntut pembebasan Datuk Seri Najib Razak.

Perwakilan mengesyaki penyebaran poster itu adalah satu bentuk sabotaj terhadap perhimpunan hari ini, yang bermula 7 Jun lalu hingga esok.

Osman Paiman berkata, tindakan itu mampu mengganggu-gugat keharmonian antara ahli dan barisan kepimpinan UMNO.

“Memang tak patut, ini adalah perhimpunan besar untuk ahli parti mendengar mandat presiden, kalau ada budaya fitnah macam ini, saya syak ini satu sabotaj, ini kerja orang munafik,” kata perwakilan dari Melaka itu kepada FMT.

Perwakilan dari Perak, Nazatul Syima, berkata walaupun poster itu bertujuan menyatakan sokongan terhadap Najib, cara digunakan salah dan boleh mengundang pelbagai persepsi negatif.

“Mereka mungkin nak kita bertindak tegas untuk bantu Najib tapi cara ini nampak kasar dengan tulisan berunsur provokasi, ini cara yang salah,” katanya.

Tinjauan FMT mendapati, poster itu diletakkan dalam raga motosikal dan diselit pada cermin kereta diparkir sekitar kawasan WTC yang menjadi tumpuan ahli UMNO ketika ini.

Poster itu memaparkan wajah Presiden UMNO Datuk Seri Zahid Hamidi dan Ketua Penerangan Datuk Seri Azalina Othman Said, dengan mulut mereka dizip berserta tanda pagar #BEBASNAJIB.

“Hari berganti minggu, minggu berganti bulan, bulan berganti tahun.

“Mana janji-janji dulu?, Najib masih dipenjara. Janji terus tinggal janji. Apa guna berjanji kalau tak ditepati,” menurut tulisan di poster itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here