Kerjasama dengan kerajaan perpaduan bukti UMNO boleh berubah, kata ketua Wanita

0
254

KEPUTUSAN UMNO bekerjasama dengan Pakatan Harapan menjadi bukti parti itu matang dan boleh menyesuaikan diri dengan keadaan semasa, kata Ketua Wanita Datuk Seri Noraini Ahmad.

Noraini berkata, langkah bergabung dengan PH juga membuktikan bahawa parti itu mengutamakan kepentingan negara berbanding “ego”.

Sebelum PRU15, UMNO bertegas tidak akan bekerjasama dengan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan saingan tradisinya, DAP.

“UMNO bukanlah sebuah parti yang sukar untuk berubah. UMNO juga bukan parti perkauman,” katanya kepada perwakilan Wanita UMNO pada perhimpunan agung hari ini.

Noraini mengimbau reaksi ahli UMNO yang terkejut, kecewa dan bimbang apabila Barisan Nasional (BN) memutuskan untuk menyertai kerajaan perpaduan.

“Jika kita ketepikan sejenak sentimen peribadi, hakikatnya, penyertaan UMNO sebagai rakan strategik dalam kerajaan perpaduan ini ada hikmah politik,” katanya lapor FMT.

Noraini berkata, memandangkan UMNO bukan lagi parti dominan di negara ini, ia perlu mencapai kompromi dengan parti lain, terutamanya pada PRN akan datang.

UMNO tidak akan bertanding di setiap kerusi, katanya.

“Kita perlu berkompromi. Demi membawa kemenangan kepada kerajaan perpaduan, yang kita dukung bersama,” katanya.

Semalam, Presiden UMNO Datuk Seri Zahid Hamidi mengingatkan ahli parti supaya menerima hakikat bahawa parti itu bukan lagi kuasa politik dominan di negara ini.

Zahid berkata, parti perlu bersiap siaga dan merebut setiap peluang yang muncul semasa PRN.

Prestasi BN pada PRU15 tahun lepas dianggap terburuk, dengan hanya memperoleh 30 kerusi; 26 daripadanya dimenangi oleh UMNO.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here