Kanak-kanak perempuan berusia setahun jadi mangsa dera teman lelaki ibu

0
174

SEORANG kanak-kanak perempuan berusia setahun mengalami kecederaan selepas dipercayai didera teman lelaki ibunya di sebuah rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang, di sini, pada Rabu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju DSP Saralathan Duraisamy dalam satu kenyataan, berkata pihaknya menerima laporan berkenaan pada jam 5.05 petang hari yang sama.

Katanya, bayi itu cedera di bahagian belakang badan, bengkak di bibir serta lebam pada kedua-dua belah matanya.

“Hasil maklumat awal, suspek seorang lelaki warga tempatan yang merupakan teman lelaki kepada ibu mangsa telah mendera mangsa dan telah melarikan diri sebelum pihak polis tiba di lokasi kejadian,” katanya lapor Astro AWANI.

Beliau berkata, mangsa kini menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

Katanya, siasatan awal polis mendapati punca mangsa dipukul adalah kerana membuat bising dan ibunya dikatakan cuba menghalang teman lelakinya itu tetapi tidak berdaya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes itu menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju menerusi talian 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur 03-21159999 atau balai polis berhampiran.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here