Tanah rizab Melayu: Ketua Pembangkang Perak lapor SPRM

0
194

KETUA Pembangkang Perak, Razman Zakaria hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu pengurusan tanah rizab Melayu di negeri ini.

Isu berkenaan membabitkan 1,600 ekar tanah rizab Melayu yang dipercayai dipecah kepada 317 lot dan dijual kepada bukan Melayu dengan harga RM412,800 bagi satu lot di Sitiawan.

“Laporan hari ini merupakan rentetan daripada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini, pihak Perikatan Nasional (PN) telah membawa satu usul.

“Ia bagi dibahas secara terperinci mengenai pindah milik tanah di Sitiawan, sebab kita dapati terdapat pelanggaran peruntukan yang menyebabkan pertukaran tanah rizab Melayu kepada bukan Melayu.

“Namun usul tersebut telah ditolak oleh Speaker dan jawapan secara umum diberi YAB Menteri Besar ketika menjawab soalan YB Trong, mengenai pindahan tanah berkenaan,” katanya lapor Astro AWANI.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media di pekarangan pejabat SPRM Perak, di Meru Raya, di sini pada Rabu.

Hadir sama, Timbalan Pesuruhjaya 2 Pas Perak, Rosli Abd Rahman dan Ketua Dewan Muslimat Pas Perak, Dr Najihatussalehah Ahmad.

Katanya lagi, tindakan itu dibuat bagi memastikan hak perlembagaan yang termaktub dalam Kanun Tanah Negara dan Enakmen Rizab Tanah Melayu dipelihara, seperti kewajipan bagi mewujudkan sekurang-kurangnya 50 peratus kawasan tanah rizab Melayu.

“Kita menggesa kerajaan negeri memandang serius isu ini dan perlu pencerahan kepada rakyat supaya imej kerajaan yang memerintah dilihat bersih.

“Besarlah harapan saya dan rakan-rakan supaya siasatan ini dapat meleraikan kegusaran rakyat negeri ini khususnya orang Melayu sebagai kaum majoriti,” katanya.

Terdahulu, Razman diiringi Rosli dan Dr Najihatussalehah menyerahkan laporan berhubung isu tersebut kepada pihak SPRM.

Sebelum ini media melaporkan Perak akan membawa isu pemilikan tanah rizab Melayu oleh syarikat bukan Melayu melalui penjualan syer saham syarikat Melayu sebagaimana berlaku di Sitiawan, kepada pengetahuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk diambil perhatian dan tindakan sewajarnya.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata beliau telah mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan para pegawai Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Nor Azimah Abdul Aziz, berkenaan hal tersebut.

Menurutnya, hasil perbincangan itu, SSM memaklumkan tiada mana-mana peraturan di bawah Akta Syarikat Malaysia 2016 yang boleh menyekat atau menghalang mana-mana syarikat meminda perlembagaannya termasuk bagi tujuan penjualan saham syarikat, sama ada kepada Melayu atau bukan Melayu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here