Ibu, bapa tiri dilepaskan tuduhan cuai cederakan anak

0
160

SUAMI isteri dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Rabu, atas pertuduhan bertindak cuai terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun, dua bulan lalu.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail membuat keputusan itu terhadap S Nagendran dan A Sangeetha yang kedua-duanya berusia 23 tahun selepas mendapati terdapat penduaan terhadap pertuduhan yang dikemukakan.

Mahkamah menetapkan hukuman ke atas pasangan itu dijatuhkan pada Rabu, namun Timbalan Pendakwa Raya Umar Faiz Abdul Kohar mengemukakan pertuduhan pindaan.

Kedua-dua tertuduh kemudian mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dan seterusnya mohon dibicarakan.

Mengikut kertas pertuduhan, keduanya didakwa mencapai niat bersama bertindak secara cuai terhadap seorang kanak-kanak lelaki yang berada di bawah pemeliharaan mereka dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di rumah mereka dekat Skudai Villa Apartment, Jalan Aman, Taman Skudai Baru di sini, kira-kira 12.30 tengah malam, 28 April lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Nagendran yang juga bapa tiri kanak-kanak berkenaan dan Sangeetha pula ibu kepada kanak-kanak itu diwakili peguam Tuan Nur Izza Natasha Tuan Rosidi.

Pihak pendakwaan dijangka mengemukakan pertuduhan baharu ke atas dua-dua tertuduh pada Khamis lapor Sinar Harian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here