Sejak bila ‘bak kut teh’ jadi makanan tradisi Malaysia

0
128

AHLI Parlimen Langkawi, Datuk Mohd. Suhaimi Abdullah hari ini mempersoalkan sejak bila ‘bah kut teh’ tersenarai dalam kategori makanan tradisi Malaysia.

Perkara itu dibangkitkan susulan soalan Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya mengenai usaha kementerian itu untuk memastikan makanan tradisi rakyat Malaysia seperti nasi lemak, bah kut teh, dan laksa diangkat martabat sebagai makanan kebangsaan.

Mempersoalkan perkara itu, Mohd. Suhaimi daripada Perikatan Nasional (PN) berkata, berdasarkan semakan 10 makanan tradisional Malaysia, bah kut teh tidak pun tersenarai dalam kategori tersebut.

“30 makanan tradisional kaum-kaum di Malaysia, tidak ada bah kut teh. Soalan saya, sejak bila bak kut teh dimasukkan dalam makanan ini, dan adakah menteri bersetuju nak masukkan seperti mana permohonan oleh YB Tebrau itu,,” soalnya ketika mengajukan soalan tambahan pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Berdasarkan carian di Google, bak kut teh merujuk kepada sejenis hidangan sup berserta daging rusuk (terutamanya babi) yang dimasak dalam herba tradisi Cina dan dilaporkan berasal dari Klang.

Sebelum itu, Puah ketika bangkit mengajukan soalan tambahan menjelaskan beliau mengajukan soalan tersebut selepas menonton sebuah dokumentari yang disiarkan stesen televisyen negara jiran, yang seolah-olah mempertikaikan asal usul sajian bak kut teh adalah dari negara jiran, dan bukan Klang.

Justeru, beliau meminta pandangan sama ada kerajaan akan mengubah persepsi tersebut, dan mencadangkan agar Institusi Makanan Kebangsaan ditubuhkan bagi memperkasakan makanan tradisi.

Sementara itu, menjawab soalan Mohd. Suhaimi, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, untuk memasukkan sesuatu jenis makanan dalam kategori tradisi, ia perlulah boleh dimakan oleh semua rakyat Malaysia.

“Saya sedikit sebanyak bersetuju dengan pandangan Langkawi, kerana ia memerlukan satu prospek makanan yang boleh dimakan oleh semua rakyat Malaysia.

“Kalau bak kut teh itu menyediakan bak kut teh ayam, boleh lah (dipertimbangkan sebagai makanan tradisi) YB Langkawi.

“Tetapi bak kut teh yang dibangkit oleh YB Tebrau, dia tak bagi secara spesifik bak kut teh jenis apa, dan saya pun tak boleh jawab spesifik. Tetapi pokoknya di sini, untuk kita masukkan dalam makanan warisan, ianya harus dimakan dan dirasai oleh kaum di negara kita,” jelasnya, lapor Astro Awani.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here