PRN: BN Negeri Sembilan mahu tambahan dua kerusi lagi dari PH

0
143

PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias mengesahkan gabungan itu ditawarkan 16 kerusi DUN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Bagaimanapun ketika dihubungi Jalaluddin berkata pihaknya meminta tambahan dua kerusi lagi daripada PH supaya kedua-dua gabungan itu mendapat agihan kerusi sama rata.

“Yang telah diselesaikan sekarang ini ialah status quo PH dapat 20 dan BN 16 kerusi. Jadi, kita teruskan mesyuarat, sebab saya minta supaya beri tambahan dua lagi kerusi.

“Ini supaya kita masuk PRN secara sama rata, kedua-dua pihak 18 kerusi masing-masing daripada jumlah 36 kerusi DUN di negeri tersebut,” katanya kepada Malaysiakini.

Namun Ahli Parlimen Jelebu itu mengakui bukan mudah PH memberikan kerusi yang mereka menangi sebelum ini.

“Tetapi macam saya beritahu kawan-kawan PH, ini adalah masa untuk kita berkorban. Give and take, atas semangat kerjasama, kerana kita nak jentera kita bersemangat tahap maksimum, masing-masing PH dan BN.

“Gabungan dua jentera ini untuk pastikan tiada pembangkang di Negeri Sembilan,” katanya.

Untuk rekod pada PRU14, PH menawan Negeri Sembilan buat kali pertama dan berjaya membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 20 kerusi berbanding BN yang hanya menang 16 kerusi DUN.

Susulan penubuhan kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan pada PRU15, PN dan PH akan bergandingan menentang Perikatan Nasional (PN) pada PRN kali ini.

DUN Negeri Sembilan dijangka dibubarkan pada Jun ini.

Mahu satu kerusi DUN di Seremban

Sementara itu, Jalaluddin berkata BN telah meminta satu kerusi DUN untuk ditandingi di parlimen Seremban.

Ini kerana katanya gabungan itu tidak memiliki sebarang kerusi DUN di kawasan parlimen berkenaan.

“Jadi mestilah ada wakil BN di Seremban. Sekurang-kurangnya satu kawasan parlimen mesti ada wakil daripada parti.

“Kita dah sampai peringkat akhir. Jadi keputusan akan dibuat pimpinan atasan, pucuk pimpinan. Kita biarkan majlis presiden buat keputusan akhir,” katanya.

Menurutnya, pucuk pimpinan akan membuat keputusan muktamad berhubung pengagihan kerusi dalam tempoh dua minggu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here