Tubuh parti baharu pecah undi, lebih baik sertai platform politik sedia ada – Timbalan Presiden PAS

0
185

TIMBALAN Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menasihati rakannya yang disisihkan UMNO supaya tidak menubuhkan parti baharu, sebaliknya memanfaatkan platform politik sedia ada dengan menyertai Perikatan Nasional (PN).

Menurut Tuan Ibrahim, penubuhan parti baharu berpaksikan Melayu-Islam cuma mendatangkan kerugian buat orang Melayu sendiri sehingga langkah itu cenderung menguntungkan musuh politik.

Saranan itu merujuk kenyataan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, yang memberi gambaran mungkin tidak akan menyertai mana-mana parti politik sedia ada, sebaliknya mahu menubuhkan sebuah lagi parti politik baharu.

“Setakat ini ianya masih belum pasti. Apa pun, PAS melihat tiada keperluan untuk wujudkan parti baharu kerana ia hanya akan memecahkan sokongan.

“Adalah lebih baik, rakan-rakan bekas UMNO menyertai PN sama ada menjadi terus ahli PN atau menyertai mana-mana parti komponen dalam PN.

“Ini kerana, kewujudan banyak parti Melayu hanya akan merugikan kita dan menggembirakan musuh politik,” katanya kepada BH hari ini.

Meskipun sesiapa sahaja berhak menubuhkan parti politik, Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Razali Idris, pula berkata, mengambil kira perjalanan karier politik Khairy yang luas dan masih segar, adalah sesuai jika bekas Ahli Parlimen Rembau itu menyertai platform parti sedia ada yang memiliki prinsip perjuangan sama seperti parti yang beliau pernah anggotai sebelum ini.

Razali turut menyuarakan kebimbangan sekiranya Khairy terus ‘berdegil’ mahu menubuhkan parti baharu kerana langkah itu mungkin akan memberi menghakis imej dan reputasi bekas Menteri Kesihatan itu dalam kancah politik negara.

“Nak buka parti baharu bukan satu perkara yang mudah dan bukan satu perkara yang boleh dianggap enteng pada saya. Lebih baik meneruskan perjuangan karier politiknya yang masih lagi segar…lebih baik pilih satu platofrm parti yang sudah ada.

“Kalau Khairy terbabit dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti dengan satu parti baharu dan wadah baharu, saya jangkakan nama beliau akan menurun.

“BERSATU terbuka sama ada dia nak pergi (sertai) PAS sekali pun kita sokong dan alu-alukan, janji di bawah payung PN. Sebab PN gabungan parti yang tonggak majoriti besarnya adalah Melayu serta perjuangannya sama seperti Barisan Nasional (BN) dahulu,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here