SPRM tahan ejen hartanah sambilan minta, terima rasuah

0
134

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan seorang ejen hartanah sambilan bagi membantu siasatan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah lebih RM20,000 sepanjang dua tahun lalu.

Menurut sumber, suspek wanita yang berusia 40 itu ditahan di pejabat SPRM Johor Bahru pada pukul 5.30 petang tadi selepas hadir memberikan keterangan.

Difahamkan, pada 2021 hingga 2022, suspek yang juga bertugas sebagai pegawai penguat kuasa sebuah jabatan telah meminta dan menerima wang rasuah itu daripada dua individu berlainan sebagai balasan mendapatkan tanah lot bukan bumiputera bagi sebuah projek perumahan di Johor.

Suspek juga telah meyakinkan kedua-dua individu terbabit bahawa dirinya boleh mendapatkan lot tersebut dengan menggunakan jawatannya sebagai pegawai penguat kuasa sebuah jabatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Sementara itu, SPRM Cawangan Segamat menahan seorang pembantu tadbir kewangan, pihak berkuasa tempatan (PBT) juga bagi membantu siasatan kerana disyaki menggunakan kedudukan dan jawatannya untuk memasukkan tunggakkan gaji dan elaun ke akaun gajinya sendiri, tahun lalu.

Suspek wanita yang berusia 32 itu ditahan di pejabat SPRM Cawangan Segamat pada pukul 2 petang tadi selepas hadir memberikan keterangan.

Difahamkan, dia yang sepatutnya tidak layak menerima tunggakan gaji dan elaun tersebut telah memasukkan wang berkenaan ke akaun gajinya kira-kira lebih RM1,000 untuk tempoh dua bulan iaitu pada Februari dan April.

Kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan kedua-dua penahanan terbabit.

Kedua-dua suspek kemudian dilepaskan dengan jaminan SPRM. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here