Lim Kit Siang bakal terima gelaran Tan Sri

0
248

TOKOH veteran DAP Lim Kit Siang akan dianugerahkan gelaran “Tan Sri” esok.

Penganugerahan darjah kebesaran itu sempena hari keputeraan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah yang ke-64.

Beberapa pemimpin DAP mengesahkan kepada Malaysiakini yang Lim akan menerima darjah kebesaran persekutuan kedua tertinggi, selepas gelaran Tun.

“Dalam kumpulan WhatsApp DAP, ramai yang telah mula mengucapkan taniah kepadanya,” kata seorang pemimpin parti DAP, lapor MalaysiaKini.

Lim, 82, bakal menjadi pemimpin DAP pertama yang dianugerahkan gelaran Tan Sri.

Dasar DAP adalah pemimpinnya tidak menerima sebarang gelaran ketika memegang jawatan. Setakat ini, hanya beberapa pemimpin parti itu yang menerima gelaran Datuk.

Seorang anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP berkata memandangkan Lim telah bersara daripada menjadi ahli parlimen, dia boleh menerima gelaran jika mendapat kelulusan parti.

Semalam, bekas ahli parlimen DAP Jeff Ooi turut memuat naik gambar Lim dengan seorang pegawai Istana Negara ketika raptai upacara penganugerahan.

Kerjaya politik yang panjang

Walaupun tidak lagi bertanding pada PRU15, Lim terus mengikuti perkembangan politik semasa dan mengutarakan pandangan menerusi kenyataan media yang dibuatnya.

Sepanjang penglibatan selama berdekad dalam politik, dia memegang rekod sebagai individu paling lama memegang jawatan ketua pembangkang iaitu selama 28 tahun untuk tiga tempoh berbeza – Januari 1974 hingga Jun 1975, November 1975 hingga November 1999 dan Mac 2004 hingga Februari 2008.

Sepanjang tempoh itu, Lim menjadi wakil rakyat di lapan kawasan Parlimen di lima negeri, kecuali antara 1999 hingga 2004 apabila dia tewas di Bukit Bendera di tangan setiausaha agung Gerakan ketika itu, Chia Kwang Chye.

Dalam DAP pula, Lim mendaki hirarki parti sehingga menjadi pengerusi kebangsaan pada 1999. Dia kemudian meletakkan jawatan dan memainkan peranan sebagai penasihat.

Lim memutuskan untuk bersara daripada politik pada tahun lalu setelah tidak bertanding dalam pemilihan CEC dan jawatan di peringkat negeri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here