Pengarah syarikat bantah tuduhan tawar suapan agar Annuar Musa cepatkan pengambilalihan Menara KL

0
225

PENGARAH Hydroshoppe Sdn Bhd Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh memfailkan bantahan awal terhadap pertuduhan menawarkan suapan RM500,000 setahun selama 15 tahun bagi faedah Tan Sri Annuar Musa berhubung proses pengambilalihan konsesi Menara Kuala Lumpur yang dihadapinya.

Abdul Hamid Shaikh, 49, memfailkan notis tersebut menerusi Tetuan Chetan Jethwani & Company di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur, pada 31 Mei lalu.

Berdasarkan notis tersebut, pihak pembelaan mendapati pertuduhan terhadap anak guamnya adalah cacat selain tidak berasas kerana salah satu elemen penting bagi kesalahan di bawah Seksyen 16 (b)(B) Akta SPRM 2009 tidak dinyatakan.

Selain itu, pertuduhan tersebut gagal mematuhi peruntukan seksyen-seksyen 152,153 dan 154 Kanun Prosedur Jenayah kerana salah satu butiran penting dalam pertuduhan iaitu tarikh spesifik bagi kesalahan tidak dinyatakan di dalam pertuduhan.

Pada prosiding hari ini di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Suzana Hussin, peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Abdul Hamid Shaikh mengesahkan telah memfailkan notis itu menerusi e-mel.

Pengarah Hydroshoppe Sdn. Bhd. Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh (kiri) ketika hadir menfailkan notis bantahan awal atas pertuduhan rasuah bekas Menteri Wilayah, Tan Sri Annuar Musa berhubung pengambilalihan Menara Kuala Lumpur ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

“Pihak kami juga telah menerima sebahagian dokumen kes itu daripada pihak pendakwaan hari ini,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mahadi Abdul Jumaat berkata pihaknya akan menyerahkan sebahagian lagi dokumen kes itu kepada pembelaan pada sebutan kes akan datang.

“Saya juga mengesahkan telah menerima notis bantahan awal itu menerusi e-mel,” katanya dan Suzana menetapkan 18 Julai ini untuk keputusan bagi permohonan tersebut.

Terdahulu, di hadapan Hakim Rozina Ayob, Amer Hamzah memberitahu mahkamah bahawa pihaknya telah memfailkan permohonan supaya kes syarikat Hydroshoppe Sdn Bhd digantung sementara pelupusan prosiding kes Abdul Hamid Shaikh.

Mahadi pula berkata pihaknya memohon untuk memindahkan kes syarikat Hydroshoppe ke Mahkamah Sesyen lain untuk dibicarakan bersama kes Abdul Hamid Shaikh.

Amer Hamzah membantah perkara itu dan meminta agar pihak pendakwaan membuat permohonan pemindahan kes tersebut secara bertulis.

Rozina menetapkan 5 Julai ini untuk pendengaran permohonan penggantungan sementara kes syarikat Hydroshoppe dan pemindahan kes itu ke Mahkamah Sesyen lain.

Pada 5 April lalu, Abdul Hamid Shaikh didakwa menawarkan suapan tersebut melalui Datuk Tan Ser Lay, 60, sebagai dorongan kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia ketika itu untuk mempercepatkan proses pengambilalihan pengurusan dan pentadbiran konsesi Menara Kuala Lumpur oleh syarikat berkenaan.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya antara Julai dan Ogos 2022.

Sementara itu, syarikat Hydroshoppe didakwa atas pertuduhan sebagai organisasi komersial melakukan kesalahan bersekutu dengan Abdul Hamid Shaikh, menawarkan suapan itu kepada Tan, seorang ahli perniagaan, bagi faedah Annuar dengan niat yang sama. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here