Gelandangan melecur dibakar lelaki mabuk

0
199

Oleh RIZQI ZABIDI

SEORANG gelandangan warga emas melecur di punggung dan kakinya dipercayai akibat dibakar seorang lelaki mabuk di kaki lima kedai dekat Taman Kampian di Sungai Petani, Kedah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 11.24 malam ketika gelandangan tersebut yang berusia 62 tahun sedang tidur.

“Ketika nyenyak tidur, mangsa kemudiannya tersedar yang tilamnya telah terbakar. Dia bagaimanapun tidak nampak siapa yang melakukan perbuatan itu.

“Akibat kejadian itu mangsa melecur di bahagian punggung dan kaki. Dia kemudiannya dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.

Tambahnya, semakan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berhampiran mendapati, seorang lelaki yang menaiki motosikal telah berhenti di tepi bangunan tersebut dan berjalan dalam keadaan terhoyong-hayang hingga terjatuh disyaki mabuk.

Suspek kelihatan membakar tilam di kaki lima bangunan dan melarikan diri menaiki motosikal

“Di belakang motosikal itu juga terdapat satu tong. Suspek dilihat kemudiannya bangun dan menuju ke lokasi tempat mangsa sedang tidur.

“Rakaman CCTV itu tidak memaparkan perlakuan suspek terhadap mangsa namun lelaki tersebut kelihatan membakar tilam di kaki lima bangunan dan melarikan diri menaiki motosikal,” katanya.

Sementara itu katanya, mangsa bersama pemilik kedai tersebut menafikan mereka memiliki musuh atau pernah bergaduh dengan sesiapa.

“Setakat ini siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan dan 324 Kanun Keseksaan,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here