Anwar jadi tetamu kehormat pada PAU 2023

0
137

SELEPAS disingkirkan daripada UMNO sejak lebih dua dekad lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi akan menghadiri Perhimpunan Agung Umno (PAU), tetapi kali ini sebagai tetamu kehormat.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Anwar akan hadir pada sesi perasmian pada 9 Jun ini bersama-sama pemimpin daripada semua 19 parti komponen dalam empat gabungan dalam kerajaan.

Menurutnya, PAU akan menjadi detik bersejarah apabila dihadiri semua parti yang membentuk kerajaan perpaduan.

Pada masa sama, Asyraf menafikan laporan bahawa Pemuda UMNO tidak menjemput sayap parti lain dalam kerajaan perpaduan.

“Biasanya sayap masing-masing akan ikut cabang utama. Jika UMNO sendiri yang menjemput parti-parti kerajaan perpaduan, mereka akan ikut,” katanya semasa sidang media di ibu pejabat UMNO di Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh sebagai berkata pihaknya tidak akan menjemput parti lain ke perhimpunan agung UMNO bagi sayap pemuda.

Muhamad Akmal secara tersirat berkata, pihaknya mahu ‘memperbetulkan’ dahulu apa yang berlaku ‘di rumah’ sebelum menjemput mana-mana parti.

Ditanya sama ada UMNO akan menjemput bekas pemimpinnya yang telah dipecat, Asyraf berkata, hanya perwakilan dibenarkan mengambil bahagian tetapi mereka yang merindui parti itu masih dialu-alukan untuk berada di Pusat Dagangan Dunia (WTC) dan membeli-belah di gerai jualan yang disediakan.

“Malah mereka boleh ‘memperbaharui’ sampin UMNO mereka,” sindirnya.

Asyraf berkata, jumlah perwakilan yang akan hadir pada perhimpunan kali ini meningkat kepada 6,341 orang iaitu seramai 1,134 Puteri UMNO, 1,160 Pemuda UMNO, 1,159 Wanita dan 2,808 daripada badan Pusat.

“Selepas pindaan kepada perlembagaan parti diluluskan, PAU buat julung kalinya akan dihadiri ketua penerangan peringkat bahagian dan sayap,” katanya.

Asyraf berkata, pihaknya menjangkakan antara usul utama yang akan dibawa perwakilan adalah berkaitan ekonomi dan kebajikan rakyat.

PAU 2003 akan membuka tirai pada 7 Jun sehingga 10 Jun di WTC, Kuala Lumpur.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan menyampaikan ucapan pada 9 Jun, diikuti ucapan perbahasan dan penggulungan pada 10 Jun.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here