Aktivis #JusticeForBella saman fitnah pemilik akaun FB Nurul Hayati Hassan

0
115

DUA aktivis yang memperjuangkan nasib remaja Sindrom Down dikenali Bella, Mona Din atau Che Muna Din dan Zurianty Sudin, memfailkan saman di Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap seorang individu atas dakwaan menyiarkan kenyataan fitnah terhadap mereka menerusi media sosial.

Mona mendakwa, pada 23 Mei lalu, seorang individu menerusi laman sosial media Facebook di bawah nama pengguna Nurul Hayati Hassan menerbitkan penyataan fitnah melalui satu hantaran yang mencatatkan nama mereka berdua.

“Dalam kenyataan berkenaan ada menyebut Zurianty dan Mona Din adalah pemfitnah terbesar. Zurianty ambil video Bella sebulan selepas kena air panas. Mona Din siap ajar Zurianty supaya berbohong supaya kes jadi viral.

“Kenyataan itu menyebut Zurianty ada motif fitnah Bainun sebab dia mahukan Rumah Bonda supaya dia dapat ‘all the glory’ dan mahukan hak penjagaan pada Jane, seorang anak angkat di rumah Bonda.

“Kenyataan dalam hantaran berkenaan juga menyatakan bahawa dalam channel Telegram ada perbualan Mona Din bagaimana dia coach (ajar) Zurianty untuk buat cerita. Ada video yang penghuni kata Bella tidak didera tapi kena air panas.

“Selain itu, kenyataan itu menyatakan bahawa ada bukti Zurianty ugut saksi lain supaya buat cerita terhadap Bainun kononnya jika mereka tak buat cerita, mereka akan di tangkap oleh polis sebab Bainun akan kata mereka yang dera Bella,” katanya ketika sidang media di sini hari ini.

Beliau turut ditemani peguam-peguamnya termasuk Muhamad Akmal Arif Shamsul Kahar dari Tetuan Akmal Shamsul Kahar & Co (ASKCO) serta seorang daripada empat peguam lantikan Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim, Datuk Khairul Anwar Rahmat yang sebelum ini menyertai perbicaraan kes Bella.

Mona berkata, saman difailkan hari ini adalah susulan perbincangan yang sudah dilakukan dengan peguam ASKCO berkenaan perundangan yang berkaitan.

“Kami merasa bahawa adalah sangat perlu langkah-langkah tepat diambil segera bagi menegakkan kebenaran dan memulihkan reputasi kami.

“Malah, jauh lebih penting daripada reputasi kami adalah bagi memastikan bahawa gerakan atau pasukan #JusticeforBella adalah terbela daripada tohmahan atau fitnah mana-mana individu.

“Hal ini kerana, gerakan ini adalah jauh lebih penting daripada kami atau mana-mana individu dan adalah melangkaui kes Bella semata-mata,” katanya.

Mona berkata, pihaknya boleh memilih mengabaikan penyataan fitnah berkenaan dan untuk tidak menggunakan tenaga, kos serta masa bagi menyaman Nurul Hayati Hasan.

“Bagaimanapun, kami tetap memfailkan saman kerana jika tindakan tidak diambil, ia melambangkan seolah-oleh perjuangan untuk golongan rentan seperti kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) boleh dikesampingkan demi sokongan tidak berasas kepada seseorang individu yang sudah disabitkan bersalah,” katanya lapor BH.

Pada 3 Mei lalu, Siti Bainun diperintahkan menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang, Selangor, selepas didapati bersalah mengabai dan menganiaya remaja Sindrom Down dikenali Bella.

Siti Bainun dijatuhi hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun itu hingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here