Remaja 13 tahun pandu kereta tanpa lesen ditahan

0
146

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

SEORANG remaja lelaki berusia 13 tahun ditahan selepas videonya memandu sebuah kereta sejauh kira-kira empat kilometer tanpa lesen di Jalan Rozhan, Machang Bubok, Pulau Pinang tular di media sosial semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, turut ditahan ialah ibu remaja terbabit yang berusia lewat 40-an serta rakannya bagi membantu siasatan.

Terdahulu, ujar beliau, polis mengesan satu video berdurasi 32 saat yang memaparkan seorang remaja memandu sebuah kereta bewarna hitam bersama rakannya ditahan orang awam yang dimuat naik dan tular di media sosial.

Susulan penularan video terbabit, katanya, polis menjalankan siasatan dan berjaya menahan suspek bersama ibunya di hadapan flat Taman Machang Bubok malam tadi.

“Rakannya berusia 13 tahun yang juga penumpang kenderaan ketika kejadian turut ditahan dan kita masih mengesan rakan-rakan suspek yang lain.

“Kita turut menyita kenderaan milik ibu suspek yang digunakan dalam kejadian terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, suspek dikenakan tindakan saman mengikut Seksyen 26(1) dan Seksyen 39(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 manakala ibunya disaman mengikut Seksyen 39(5) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana membenarkan pemandu bawah umur memandu kenderaan bermotor.

“Kita berharap ibu bapa dan masyarakat akan lebih prihatin dalam memantau anak-anak.

“Jangan benarkan mereka memandu atau menunggang tanpa lesen kerana ia membahayakan nyawa sendiri dan pengguna jalan raya lain,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here