Ahli Parlimen DAP buat laporan polis, anggap kenyataan Sanusi melampau

0
133

AHLI Parlimen Jelutong RSN Rayer membuat laporan polis terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung dakwaan bahawa Pulau Pinang milik Kedah.

Malaysiakini melaporkan, Rayer berkata Sanusi membuat kenyataan melampau apabila mempersoalkan kedaulatan Pulau Pinang, yang ditubuhkan dan diiktiraf sebagai negeri berdaulat di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Tambahnya, Sanusi bukan sahaja mempersoalkan kesahihan perlembagaan tetapi juga kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam melantik Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang.

“Saya membuat laporan polis ini bukan sahaja kerana hendak mempertahankan hak dan kepentingan rakyat negeri Pulau Pinang, tetapi lebih daripada itu membela keabsahan Perlembagaan Persekutuan dan kuasa-kuasa Yang di-Pertuan Agong,” katanya ketika membuat laporan di Balai Polis Timur Laut di Georgetown, Pulau Pinang, hari ini.

Rayer ditemani Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng; Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid dan beberapa pemimpin DAP lain.

Dalam laporan tersebut, Rayer mendakwa kenyataan Sanusi bukan sahaja tidak bertanggungjawab tetapi juga melampau dan boleh ditafsirkan sebagai satu hasutan untuk menyebabkan huru-hara dan rusuhan di kalangan rakyat Pulau Pinang.

“Sebagai seorang menteri besar, beliau harus bersikap bertanggungjawab dan mendapat pandangan dan nasihat daripada pakar perundangan dan bukanlah menghentam secara semberono dengan membuat ucapan secara liar dan sesuka hati sehingga boleh menyebabkan keresahan kepada rakyat Pulau Pinang, juga mengganggu gugat ketenteraman awam serta membangkitkan perasaan marah di kalangan rakyat Puau Pinang,” katanya.

Ini adalah kali kedua Rayer membuat laporan terhadap Sanusi berhubung dakwaan bahawa “Pulau Pinang milik Kedah”. Laporan polis pertama dibuat Rayer ialah pada Februari lalu.

Sanusi sebelum ini mengulangi dakwaan bahawa Pulau Pinang adalah milik Kedah dan menggesa Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi menyokong dakwaan itu.

Pemimpin Pas itu dilaporkan memberitahu FMT bahawa kajian sejarah dan akademik menyokong dakwaan itu dan menyeru generasi sekarang memperbetulkan “penyelewengan sejarah” dan meminda perlembagaan dengan sewajarnya.

Bercakap kepada pemberita di luar balai polis, Lim berkata laporan itu dibuat bagi melindungi dan mempertahankan kedaulatan Pulau Pinang.

“Rayer telah membuat laporan polis, dan sebagai seorang peguam, dia tahu kenyataan Sanusi itu adalah satu hasutan yang sangat berbahaya, yang juga bercanggah dengan perlembagaan.

“Kita semua tahu bahawa Pulau Pinang adalah sebuah negeri yang berdaulat, yang mempunyai ketua menteri dan ADUN sendiri, dengan sistem pentadbiran yang diperkasakan oleh Perlembagaan Persekutuan,” kata Lim.

Bekas ketua menteri Pulau Pinang itu berkata Jata Negara dan jalur pada bendera menunjukkan Pulau Pinang adalah salah sebuah negeri di Malaysia.

Dia juga bertanya mengapa persoalan mengenai kedaulatan Pulau Pinang dibangkitkan sekarang.

“Ini adalah tahun ketiga Sanusi menjadi menteri besar Kedah. Dalam tempoh dua tahun pertama, semasa beliau menerajui negeri di bawah kerajaan Perikatan Nasional, tidak ada isu sebegitu.

“Sekarang, apabila pilihan raya negeri semakin hampir, beliau sengaja membangkitkan isu sensitif ini yang boleh mencetuskan ketegangan dalam kalangan rakyat, khususnya rakyat Pulau Pinang,” kata Lim.

Pengerusi DAP itu juga berkata Sanusi mengulangi dakwaan itu sebagai batu loncatan menjelang pilihan raya negeri.

“Orang seperti ini berbahaya. Saya harap tindakan tegas boleh diambil terhadap beliau (Sanusi). Jika tidak ditangani, ia boleh menyebabkan perpecahan dalam kalangan rakyat di negara ini,” katanya sambil menggesa semua pihak menghormati perlembagaan dan raja-raja Melayu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here