Mabuk: Ada budak enam tahun jadi mangsa dera – Polis

0
130

PENGARUH alkohol, dadah dan gagal mendapatkan wang untuk membeli barang terlarang dari pasangan dipercayai antara punca peningkatan kes keganasan rumah tangga di daerah Klang Selatan sehingga April lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, statistik menunjukkan, majoriti mangsa keganasan rumah tangga adalah isteri, tidak kurang juga sebahagian mangsa keganasan ini dilepaskan kepada anak-anak kecil seawal usia enam tahun.

“Pihak polis membuka 16 kertas siasatan berkaitan kes keganasan rumah tangga di daerah ini dalam tempoh Januari hingga April tahun ini.

“Jumlah kes terbabit menunjukkan peningkatan berbanding statistik tempoh sama tahun lalu sebanyak 12 kes.

“Dari Januari hingga April lalu, polis sudah buka 16 kertas, jika dicampur dengan (laporan) kes bulan ini (Mei) mungkin sudah melebihi 20 kes.

“Antara kes yang kami terima, seorang suami dengan pengaruh alkohol, lepas minum kemudian mabuk lalu gagal kawal diri dan lepas geram kepada isteri.

“Ada kebanyakan mangsa keganasan rumah tangga secara berulang, tidak tahan kemudian mangsa lapor polis..siasatan mendapati kes keganasan menjadi kebiasaan kepada suspek mencederakan mangsa.

“Ada kes baru, kanak-kanak berumur enam tahun dipukul bapa kandung yang mana kejadian di Taman Pendamar, Pandamaran. Laporan diterima dua hari lalu, ibu mangsa melaporkan kejadian sudah beberapa berlaku. Semua ini dalam siasatan polis,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di Klang, hari ini.

Hoong Fong berkata, siasatan kes ini meliputi kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, Seksyen 324 Kanun Keseksaan, Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Katanya, mangsa keganasan rumah tangga dilindungi di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga 1984 yang terpakai kepada wanita, ahli keluarga lain dalam kalangan lelaki, kanak-kanak, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan warga emas.

“Selain itu, boleh menghubungi Talian Kasih dan WhatsApp 019-2615999 yang beroperasi 24 jam atau JKM berhampiran,” katanya, lapor Harian Metro.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here