1MDB: SPRM percaya Jho Low sedang bersembunyi di Macau

0
153

SPRM dilaporkan berkata suruhanjaya itu “percaya” usahawan Malaysia Low Taek Jho yang menjadi buruan tersebut sedang bersembunyi di Macau.

Menurut laporan Al Jazeera hari ini, SPRM dipetik dalam jawapan bertulis sebagai berkata bahawa ini disahkan oleh beberapa individu yang pernah melihat Jho Low di Macau.

“SPRM percaya individu-invidu yang dikehendaki untuk (kes) 1 Malaysia Development Bhd (1MDB), terutamanya Jho Low, sedang bersembunyi di Macau,” lapor Al Jazeera.

Menurut laporan itu. pendedahan tersebut dibuat hanya beberapa minggu selepas penahanan suspek 1MDB yang agak tidak dikenali, Kee Kok Thiam.

Pada 3 Mei, Kee, yang difahamkan adalah pembantu Low, ditahan ketika tiba di lapangan terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Memetik sumber polis Malaysia, Al Jazeera melaporkan bahawa Kee diusir dari Macau kerana tinggal melebihi had masa visanya.

Selepas dirakamkan kenyataannya, SPRM membebaskan Kee dan berkata bahawa tiada pertuduhan dikenakan terhadapnya “buat masa ini”.

Putrajaya, kata SPRM, tidak menerima sebarang makluman daripada Macau mengenai pengusiran Kee tetapi dipetik sebagai berkata bahawa mereka “menyedari bahawa Kee dihantar pulang dari Macau berdasarkan rangkaian perisikan”.

“Kertas Siasatan itu tertumpu kepada aset milik Kee Kok Thiam di Singapura dan telah disiapkan dan diserahkan kepada pejabat peguam negara untuk tindakan seterusnya,” kata seorang pegawai.

Rangkaian berita yang berpangkalan di Doha itu menambah bahawa SPRM memaklumkan bahawa ia telah mengumpulkan risikan sejak kerajaan mengeluarkan larangan perjalanan terhadap beberapa suspek 1MDB, termasuk Kee. SPRM berkata ini berlaku sejurus selepas pilihan raya 2018.

Perdana menteri ketika itu, Najib Razak dan parti Umno yang diterajuinya mengalami kekalahan teruk dan ditumbangkan selepas lebih 60 tahun berkuasa.

Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun berhubung kes rasuah membabitkan penyelewengan RM42 juta dana daripada SRC International, yang pernah menjadi anak syarikat 1MDB.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here