Jam tangan Swatch dirampas tertera huruf ‘LGBTQ’

0
160

JAM tangan Swatch yang dirampas Kementerian Dalam Negeri (KDN) awal bulan ini tertera huruf LGBTQ di permukaan jarumnya.

Menurut sumber kementerian itu, pihak berkuasa hanya merampas jam tangan yang mengandungi huruf berkenaan.

LGBTQ merujuk golongan lesbian, gay, biseksual, transgender dan pelik.

“Kami merampas ratusan jam tangan dan semuanya mempunyai huruf ‘LGBTQ’ pada permukaan (jarum) jam.

“Kami tidak merampas jam tangan itu kerana ia mempunyai warna pelangi. Jika itu berlaku, kami perlu merampas aiskrim Paddle Pop,” kata sumber dalaman yang enggan dinamakan itu, lapor FMT.

Pada 13 dan 14 Mei lalu, KDN dilaporkan menyerbu 11 kedai Swatch di pusat beli-belah seperti Pavilion KL, 1 Utama, Sunway Pyramid, Mid Valley Megamall dan Suria Sabah berhubung ‘Pride Collection’ jenama itu.

Lima kedai di pusat beli-belah di Alor Setar, Kuala Terengganu, Kota Bharu, Johor Bahru dan Kuching diberikan amaran.

Serbuan itu dilaporkan berlaku selepas warganet mengaitkan koleksi itu dengan sokongan kumpulan rock British, Coldplay terhadap LGBT.

Jumaat lalu, Malay Mail memetik Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Swatch, Nick Hayek sebagai berkata, jam tangan dirampas KDN itu tidak mengandungi sebarang rujukan kepada LGBT.

Beliau mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan jam tangan itu dirampas kerana unsur LGBT, mendapat maklumat salah dan tiada rujukan mengenai LGBT dipaparkan pada permukaan jarum jam tangan itu.

KDN enggan memulangkan jam tangan yang dirampas dalam serbuan itu.

Hayek dilaporkan berkata, syarikat itu akan mengambil tindakan undang-undang bagi mendapatkan semula jam tangan ‘Pride Collection’.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here