Ismail Sabri tegur Umno, Jangan sekadar ‘hiasan’ dalam kerajaan

0
191

UMNO tidak boleh sekadar menjadi “hiasan” dalam kerajaan perpaduan, dan mesti tidak takut untuk menegur demi kebaikan bangsa dan tanah air, kata Ismail Sabri Yaakob.

Bekas naib presiden Umno berkata, tidak salah untuk parti itu khususnya sayap Pemuda, mengkritik tindakan kerajaan yang menimbulkan kegusaran rakyat.

“Pemuda Umno sejak dahulu, berani menyatakan pendirian atas kepentingan parti dan rakyat, namun mutakhir ini budaya itu semakin hilang.

“Janganlah Pemuda Umno hanya menjadi sebagai burung kakak tua dan jurucakap kepada kepemimpinan biarpun di luar kemahuan ahli,” katanya dalam rencana diterbitkan Utusan Malaysia hari ini.

Ismail yang juga Ahli Parlimen Bera, menyebut tingkah laku pemimpin Umno ketika Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan pada 14 Mei lalu di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur, yang dihadiri kira-kira 8,000 perwakilan pelbagai parti anggota kerajaan perpaduan.

Katanya, perwakilan Umno yang berucap kelihatan “begitu apologetik, boleh ditafsirkan (sebagai) tunduk kepada parti-parti Pakatan Harapan”, sedangkan wakil parti lain berucap dengan penuh keyakinan terhadap perjuangan mereka.

“Pemimpin Umno tidak boleh apologetik sehingga rakyat menafsirkan seolah-olah parti itu melakukan kezaliman sebelum ini,” katanya.

Bekas perdana menteri itu berkata, dengan matlamat dan hala tuju yang jelas, Umno membuktikan keupayaan membina negara seperti yang dapat dilihat melalui kemakmuran dikecapi negara pada masa ini.

Katanya, negara sudah berada di landasan tepat untuk mencapai status negara maju berpendapatan tinggi pada 2025, melalui dasar yang dirancang sebelum ini.

Oleh itu, katanya, Umno harus memainkan peranan supaya matlamat ini tidak direnjatkan oleh kepentingan politik sesetengah pihak, dan menghalang perkara sensitif daripada menjejaskan kestabilan negara.

“Negara memerlukan kestabilan untuk memastikan kemakmuran dari semua aspek dapat dinikmati. (Dengan) hanya lima wakil dalam (Jemaah Menteri), sukar untuk menjadi raja yang mengatur bidak.

“Sudah sampai masanya Umno bangkit kembali membina kekuatan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here