Sertai Bersatu kalau masih pegang perjuangan UMNO asal-Peja

0
130

DATUK SERI Ahmad Faizal Azumu menyeru ahli UMNO dan penyokong parti itu menyertai Bersatu sekiranya mereka masih berpegang kepada perjuangan UMNO untuk agama, bangsa, dan tanah air.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, tindak-tanduk UMNO ketika ini telah jelas menyimpang daripada perjuangan asal parti itu, dengan mengambil contoh pemimpin parti itu yang disabitkan di mahkamah.

Beliau berkata, apa yang Bersatu bawa sebenarnya tidak lari jauh daripada perjuangan UMNO asal untuk meningkatkan syiar Islam, mendaulatkan raja-raja, menjaga Bahasa Melayu, menjaga kepentingan orang Melayu sebagai kaum Bumiputera yang mempunyai hak-hak istimewa.

“Ini perkara-perkara yang kita pegang dengan sepenuh hati. Berbeza dengan apa yang UMNO lalui, di mana mereka menyebut tentang perjuangan agama, bangsa, dan tanah air, tetapi perbuatan berbeza apabila jelas mempertahankan pemimpin yang terbukti korup.

“Jadi memang tidak ada pilihan lain bagi ahli atau penyokong UMNO. Kalau masih berpegang pada perjuangan tersebut, Bersatu tempatnya,” katanya dalam temubual FMT.

Faizal akui beberapa pemimpin Bersatu seperti Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menghadapi tuduhan rasuah, namun bertegas kesnya tidak serupa.

Menurut beliau, dalam kes Muhyiddin, wang yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri itu dimasukkan ke dalam akaun parti; sebaliknya dana dimasukkan ke dalam akaun peribadi pemimpin UMNO yang didakwa.

Bekas Ahli Parlimen Tambun itu berkata, apa yang lebih penting sama ada parti Melayu-Islam seperti UMNO dan Bersatu masih membawa perjuangan asal.

“Bersatu bersama rakan-rakan dalam komponen Perikatan Nasional, kami wadah perjuangan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Faizal memuji langkah Tun Dr. Mahathir Mohamad mengetengahkan Proklamasi Orang Melayu, kerana ia menghimpunkan pemimpin-pemimpin Melayu untuk kepentingan komuniti itu, dan bukannya mana-mana parti.

Beliau berkata, usaha itu jauh lebih bermakna berbanding kembali menjadi ahli Bersatu, parti yang Mahathir asaskan pada 2016.

“Pada masa yang sama, Mahathir sebagai tokoh terulung sangat dialu-alukan untuk bersama Bersatu,” katanya.

4)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here